| Universiti Putra Malaysia

Pertanian bandar: Jemputan UPM bertani antara bangunan pencakar langit

Oleh Kuah Guan Oo



SERDANG, 6 MAC – Jika anda tinggal di kawasan bandar dan menggemari aktiviti bercucuk tanam, anda mungkin sedang memikirkan apakah kaedah terbaik dalam melaksanakannya. Tidak kira apa sahaja alasan anda untuk bercucuk tanam, samada untuk menghasilkan sumber makanan sendiri atau sekadar mengisi masa lapang, anda mungkin terfikir untuk mempraktikkan aktiviti kesukaan anda dalam skala yang lebih besar.

Kenapa tidak? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mendedahkan bahawa konsep pertanian dalam bandar mampu menjana pulangan ekonomi yang tidak kurang lumayan. Beliau menyatakan bahawa tanaman rock melon  yang diusahakannya sendiri di kediaman rasminya di Seri Perdana menjana keuntungan sebanyak RM500 ribu setahun.

Ini membuktikan bahawa pertanian dalam bandar jika dilaksanakan dengan cara yang betul mampu meningkatkan taraf ekonomi tetapi dengan syarat kaedah dan pelaksanaannya mestilah praktikal selain petani di bandar harus kreatif atau mampu berfikir di luar kotak pemikiran.


Ketidakcukupan kawasan pertanian dan kenaikan mendadak harga makanan sepanjang dekad  lalu memberikan ilham kepada para saintis dan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membangunkan pelbagai kaedah terbaik bagi membolehkan masyarakat bandar melaksanakan aktiviti pertanian pada skala yang lebih besar, tidak sekadar untuk keperluan sehari-hari tetapi juga mampu menjana ekonomi.

“Anda boleh gelarkan ia sebagai pertanian tanpa tanah,” kata Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi yang mengetuai sekumpulan pensyarah dan penyelidik bagi membangunkan kepelbagaian kaedah pertanian dalam persekitaran yang terhad.

Bagi menarik minat masyarakat bandar untuk menjadikan aktiviti pertanian ke arah dinamik, Fakulti Pertanian UPM memberikan khidmat latihan kepada sekumpulan pelajarnya yang juga bertindak  sebagai sukarelawan yang berupaya memberi tunjuk ajar mengenai konsep dan kaedah pertanian bandar.

Walaupun kawasan halaman depan dan belakang rumah di bandar tidak ekonomik, penduduk masih boleh memaksimumkan penggunaan tanah dengan mengamalkan kaedah penanaman secara menegak, bertingkat (multi tier)  atau secara menggantung bagi apa sahaja jenis sayuran atau buah yang sesuai seperti salad, timun, terung, tomato, tembikai dan terong.

Atau mereka boleh menggunakan sistem bersepadu yang menggabungkan kaedah akuakultur dengan penanaman sayur-sayuran serentak atau lebih dikenali sebagai ‘pisciponics’. Mereka juga boleh mendirikan rumah hijau pintar yang menggabungkan penggunaan teknologi tinggi seperti pengesan (sensor) dan tenaga solar.

“Kami juga mengajar mereka cara-cara membuat kompos daripada sisa bahan organik dan sisa dapur serta melaksanakan kaedah pemuliharaan air hujan,” katanya selepas majlis pelancaran program Outreach iM4u untuk belia oleh Datuk Seri Najib di kampus UiTM Puncak Alam pada 2 Mac 2013 di mana UPM menyediakan gerai pameran modul Pertanian Bandar pada majlis itu.



Bagi menggalakkan masyarakat berminat dengan konsep pertanian bandar, UPM melaksanakan kaedah serampang dua mata di mana pelajar UPM dilatih dan bertindak sebagai sukarelawan bagi menjana sebuah gerakan di seluruh negara bagi membangunkan pertanian berskala besar di bandar.

Pelajar-pelajar UPM akan menjadi pemangkin atau agen perubahan bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara demi menjamin kecukupan dan keselamatan makanan negara.

Secara dasarnya dengan melaksanakan pertanian bandaran, ia akan menyaksikan   penurunan yang drastik dalam pengurangan kos bahan-bahan makanan negara yang diimpor. Kos import makanan negara naik mendadak dari jumlah RM1 bilion pada tahun 1990 dan melambung sehingga RM14 bilion pada 2011.

Pada masa yang sama, kadar urbanisasi di Malaysia berada pada kadar 2.4 peratus setahun dari 2010 hingga 2015 dengan 72 peratus penduduk bandar di Malaysia menetap di 20 bandar-bandar utama.

Prof. Dr. Shukur berkata terdapat banyak kelebihan dan manfaat dengan menggunapakai konsep pertanian jenis ini khususnya kepada masyarakat yang tinggal di bandar dan sumbangan kepada penjanaan ekonomi negara amnya.

Pada peringkat pentadbiran negara, peningkatan tahap sara diri dalam menghasilkan makanan sendiri menggalakkan kepada usaha penggunaan dana dan wang rakyat sebagai tujuan pembangunan negara yang lebih bermanfaat.

Pembuatan kompos daripada sisa bahan organik di bandar pula akan membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Kepada orang ramai yang berminat untuk mempelajari kaedah dan teknik pertanian bandar ini bolehlah menghubungi Fakulti Pertanian UPM melalui alamat yang berikut:

Dekan
Fakulti Pertanian
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Malaysia
Tel: +603-8947 4801
Faks: +603-8940 8319
Email: dean.agri@upm.my

--UPM/KGO/KAM/DEL 


WXDdTA~