| Universiti Putra Malaysia

Perokok pasif terdedah kepada risiko penyakit jantung

Oleh Alex Ardiansyah

 

SERDANG, 17 Nov – Pendidikan kesihatan mengenai bahaya asap rokok terhadap perokok pasif terutama di kalangan kanak-kanak perlu diberi penekanan agar mereka dapat menghindari dan bebas daripada bahaya asap rokok.

Timbalan Dekan (Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Mohd Tamrin berkata, ia kerana perokok bukan sahaja membahayakan kesihatan diri sendiri tetapi juga orang sekelilingnya termasuk kanak-kanak.

Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 600,000 kematian dijangka berlaku setiap tahun berpunca daripada perokok pasif, manakala  165,000 kematian di kalangan kanak-kanak disebabkan oleh jangkitan pada saluran pernafasan berpunca daripada asap rokok pasif

“Paling menyedihkan mereka yang merokok bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi komuniti yang berada di sekeliling mereka seperti pasangan, keluarga, anak-anak dan masyarakat.

“Mereka yang dipanggil perokok pasif ini menyedut udara yang dihembus oleh perokok, dan menerima komplikasi yang lebih teruk daripada perokok tersebut,” katanya ketika merasmikan Program Pengehakupayaan Perokok Pasif 2017 di sini.

Program itu yang dianjurkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM disertai 160 peserta termasuk murid tadika, pelajar sekolah menengah, ahli persatuan wanita, ahli persatuan penduduk dan pelajar Fakulti Pendidikan UPM.

Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri berkata sebagaimana menurut Portal MyHealth, Kementerian Kesihatan, asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi dua kali ganda kandungan nikotin, tiga kali ganda kandungan tar, lima kali ganda kandungan karbon monoksida dan 50 kali ganda kandungan bahan kimia merbahaya.

Menurut CDC, Atlanta, Amerika Syarikat pula perokok pasif  mempunyai risiko 25 hingga 30 peratus untuk mendapat komplikasi penyakit jantung, 20 hingga 30 peratus untuk mendapat serangan angin ahmar, dan 20 hingga 30 peratus untuk mendapat barah paru-paru.

Justeru, katanya, masyarakat perlu mengambil langkah memastikan mereka dan keluarga bebas daripada ancaman sebagai perokok pasif ini, antaranya dengan melarang sesiapa sahaja daripada merokok di dalam atau di kawasan berhampiran dengan rumah mereka serta melarang sesiapa sahaja daripada merokok di dalam kereta.- UPM

WXDTPAf~