| Universiti Putra Malaysia

Pernah diikat kedua kaki dengan kayu supaya lurus, kini Hussein raih Bacelor

Oleh Nurul Amiraa Mohamed Rafic

SERDANG, 19 Nov – "Ummi pernah ikat kedua kaki saya dengan kayu panjang sebagai inisiatif rawatan fisioterapi di rumah, dengan harapan saya boleh berjalan seperti kanak-kanak lain dan bersekolah seperti biasa," mata Hussein mula berkaca-kaca menceritakan pengalamannya ketika di bangku sekolah rendah.

Bukan saja kedua kaki diikat dengan kayu, malah katanya latihan berjalan setiap hari menggunakan tongkat yang dipaksa oleh ayahnya telah membuatkan dia tertekan dan hampir putus asa.

“Saya percaya ummi dan ayah ingin yang terbaik untuk saya. Walaupun saya tertekan, tetapi  mereka nak saya percaya pada diri dan berjaya sehingga ke menara gading.

"Sejak darjah satu sehingga tingkatan enam, ummi hantar dan ambil saya dari sekolah naik motor dengan perjalanan lebih kurang 30 minit. Saya selalu risau akan keselamatan ummi di jalan raya dan rasa seperti anak yang sentiasa menyusahkan ibu," luah Hussein mengingati pengalamannya bersekolah dengan pengorbanan ibu.

Meneruskan pendidikan ke peringkat Bacelor di UPM dalam bidang Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu menguji semangat berdikari dalam diri Hussein kerana ketiadaan keluarga di sisi dan ia juga adalah pengalaman pertamanya berjauhan dengan keluarga.

Menuntut di UPM banyak mengubah corak kehidupan Hussein Said, 24, berasal dari Tanjung Karang Selangor apabila pengalaman pengajiannya di fakulti dan kolej adalah berbeza dengan pelajar normal yang lain.

Pergerakannya agak terbatas serta kemudahan khas bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ada tidak mencukupi telah membentuk semangat cekal dan tabah dalam diri Hussein dalam menjalankan urusan seharian.

Hussein bergerak pergi dan balik dari fakulti dengan kenderaan khas OKU yang disediakan universiti, membelanjakan wang seharian dengan bantuan kewangan yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sering menerima bantuan lain dan sokongan dari pensyarah dan rakan-rakan.

Hussein amat bersyukur dengan segala dorongan dari insan-insan dan organisasi yang banyak membantu sepanjang empat tahun beliau menempuh cabaran sebagai seorang pelajar dengan status OKU.

Ingin membuktikan bahawa individu yang kelainan upaya mampu berjaya setanding pelajar normal telah mendorong Hussein tekun menamatkan pengajian dan kini Hussein telah menyambung pengajian Master dalam bidang sama demi mencapai cita-cita untuk bergelar pensyarah.

"Dulu ketika awal-awal masuk UPM, ummi ayah pesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh, pandai bawa diri, dan berdikari sendiri. Ketika itu saya tekad tidak mahu susahkan ibu bapa lagi dan mahu hadiahkan mereka kejayaan dalam pelajaran" kata Hussein yang juga mempunyai kembar seiras, Hassan. - UPM

WXDdQAU~