| Universiti Putra Malaysia

PERKASAKAN WANITA MALAYSIA - MISS MALAYSIAINDIAN GLOBAL 2018

Oleh: Chow Heng Yee

 

SERDANG, 29 Okt – Kesungguhan ibunya yang merupakan ibu tunggal menjaga keluarga dijadikan sebagai inspirasi utama dalam kejayaan Pavithra Panir Selvam, 24, graduan Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua).

 

"Walaupun saya dibesarkan dalam keluarga yang susah, ianya bukan penghalang untuk saya menjadi seorang motivator wanita di Malaysia" kata graduan Fakulti Pengajian Pendidikan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Kali Ke-42.

 

Beliau yang memenangi Miss MalaysiaIndian Global 2018 baru-baru ini berkata niat menyertai pertandingan itu bukan untuk menjadi model tetapi untuk memperkasakan wanita di Malaysia.

"Apabila saya ternampak iklan pertandingan ini, saya tertarik dengan motif utama pertandingan iaitu membangunkan wanita yang intelektual, dan bukan untuk menguji kecantikan semata-mata,” katanya.

 

Anak sulung kepada dua adik-beradik yang dibesarkan oleh ibu tunggal sejak dia berusia setahun merupakan pendebat terbaik final Debat Di-Raja antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2018.

 

"Kepada semua wanita di Malaysia yang berasa dipinggirkan, saya sentiasa bersama anda tidak mengira bangsa atau agama. Ayuh sama-sama kita membangun dan percaya kepada diri sendiri, bahawa kita mampu menyumbang kepada negara yang tercinta ini," katanya.

 

Kini, beliau sedang melanjutkan pelajaran ijazah Master Psikologi Pendidikan di UPM sambil bergiat aktif dalam program MMICare Association (Penganjur Pertandingan Miss MalaysiaIndian Global 2018). - UPM

SXDdTA4~