| Universiti Putra Malaysia

Perekabentuk Proton disanjung kalangan industri, gembira mengajar di UPM

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Azreen Awang



SERDANG, 18 Julai  (UPM) – Siapa yang tidak kenal Proton Saga yang memenuhi jalan raya Malaysia pada tahun-tahun 80-an dan 90-an tetapi tidak ramai ingat orang yang merekabentuk kereta yang menjadi ikon rakyat itu.

Beliau sebenarnya tidak dilupakan malah pada lewat bulan lalu, perekabentuk Proton itu, Haji Mohd Azli Abd. Rahim,63, menerima sanjungan rakan sebayanya dalam industri rekaan dengan diberikan anugerah  “Tokoh Ideation – Pereka 2013”.

Anugerah  “Tokoh Ideation- Pereka 2013” itu baru dicipta tahun ini oleh Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (Pereka)   lantas diberikan kepada Hj Azali, seorang perintis yang belajar ‘rekaan industri’ ketika tidak ramai mengenali bidang berkenaan.

Kini beliau adalah seorang pensyarah khas di Universiti Putra Malaysia (UPM) memberikan tunjukajar mengimbangi kuliah akademik sekaligus mencurahkan kemahiran beliau kepada generasi muda.



Dengan pengalaman luas dan jaringan dalam industri terlibat, beliau turut memainkan peranan dalam membantu universiti penyelidikan ini mengkomersialkan produk dan hasil penyelidikan lain.

Hj Azali memberitahu beliau begitu terharu dengan pemberian anugerah itu yang diperkenalkan oleh Pereka sempena perayaan Hari Industri Rekaan Sedunia (WIDD) pada 29 Jun, 2013. Beliau menerima anugerah itu sebagai menghargai pelbagai sumbangan perintis beliau di institusi akademik dan industri.

Pihak persatuan telah  menganjurkan majlis berkenaan di pusat beli-belah Publika di Solaris Dutamas dengan pameran rekaan unik produk prototaip dan proses pembangunan rekaan, di samping ceramah di kawasan awam setiap hari mulai 18 hingga 29 Jun. Ia bertujuan memberitahu orang ramai betapa luasnya bidang rekaan industri.



Di antara tajuk ceramah adalah “Rekaan Industri dan Pengurusan Rekaan”, “Peranan Pereka Industri”, “Pemikiran Kreatif”, “Rekaan Perabot dan Cabaran-cabaran Dihadapi”, “Rekaan Industri+Pengalaman dan Jenamaan”.

Pereka mempunyai lebih 500 ahli yang bekerja dalam pelbagai bidang rekaan industri seperti pembuatan perabot, aksesori kereta, pembungkusan dan perkakasan.

Kemuncak kepada majlis perayaan WIDD itu adalah penyampaian anugerah Tokoh Idealion yang disampaikan kepada Haji Azali oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Industri (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohamed Diah.

Hj. Azali, yang juga ahli Majlis Rekabentuk Malaysia di bawah MOSTI, memberitahu bahawa pameran di Publika itu menarik perhatian ramai pengunjung tidak seperti sewaktu beliau mendaftar diri untuk mengikuti pengajian rekaan industri.

“Ketika saya mendaftar untuk kursus berkenaan di Institut Teknologi Mara pada 1969, dulu dikenali sebagai ITM, tidak siapa tahu apakah itu rekaan industri.

“Saya terpaksa mencari maklumat diperlukan dan mendapati ia adalah seni merekabentuk produk (seni campur sains) dan memandangkan saya pandai melukis dan gemar pada sains, saya terus mendaftar,” kata beliau.

Dilahir dan besar di Kota Bharu, dengan mendapat pendidikan di  Sultan Ismail College sebelum menyertai ITM, beliau adalah di antara kumpulan perintis pelajar yang lulus diploma dalam rekaan industri.

Selepas itul beliau bertungkus-lumus berusaha mempersiapkan kerja sebelum menyerahkan hasilnya untuk membolehkan beliau diterima mengikuti pengajian kursus ijazah di Manchester Polytechnique (kini Manchester Metropolitan) di mana beliau memperolehi ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Rekaan Industri.

Sebaik pulang dari UK, beliau menjadi seorang pensyarah dan kemudian pensyarah kanan di ITM (kini UiTM atau Universiti Teknologi Mara) sebelum menyertai Hicom dan diberikan tugas merekabentuk kereta nasional pertama Malaysia atau model Proton Saga pertama.



Apabila Perusahaan Otomobil National Sdn. Bhd (Proton) ditubuhkan dengan rasminya pada 7 Mei 1983 beliau dilantik sebagai ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R & D). Beliau turut memainkan peranan dalam mengembangkan vendor tempatan untuk mengilang dan membekalkan bahagian dan komponen kereta Proton buatan Malaysia itu.

Namun apabila isteri beliau disahkan mengalami kegagalan buah pinggang,  Haji Azali meletak jawatan untuk memberi sepenuh tumpuan dan masa menjaga isteri beliau itu.

Setelah isteri beliau meninggal dunia, Hj Azali akur akan arahan Tun Dr Mahathir Mohamed pada 1994 untuk memulakan rekaan Kenderaan Komersial Nasional Pertama dan mengetuai usaha menubuhkan Jabatan R & D untuk Inokom (Industri Otomotif Komersial), satu projek usahasama di antara sebuah syarikat Malaysia dengan Hyundai.

Beliau pernah dipelawa oleh UPM untuk menjadi profesor adjunk. Terkini beliau bertugas secara kontrak sebagai pensyarah khas di Jabatan Rekaan Industri, Fakulti Rekaan dan Senibina.

Hj Azali yang mempunyai lima anak dan tiga cucu begitu gembira mendapat peluang mengajar dan menyalurkan kemahiran beliau kepada generasi muda di universiti ini.

“Saya memperkenalkan cara Rapid Prototyping (RP) untuk menghasilkan model sebenar bagi projek-projek tahun akhir. Hasilnya amat membanggakan hingga pelajr-pelajar  sendiri pun begitu terkejut dengan daya kreatif dan keupayaan teknikal mereka,” katanya. – UPM

-- kgo/agn/kam


SXDdPAT~