| Universiti Putra Malaysia

Penyelidik UPM rangkul anugerah Bioeconomy Innovation of the Year


Oleh: Hafliza Hussin

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Tiga penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi  satu pingat emas, dua pingat gangsa dan satu Anugerah Khas pertandingan R&D Bioeconomy Innovation Awards.

Pingat itu disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Panglima Madius Tangau bersempena Pameran BioMalaysia & Asia Pacific Bioeconomy 2016 pada 31 Mei – 2 Jun 2016 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Prof. Dr. Maznah Ismail dari Laboratori Bioubatan Molekul, Institut Biosains (IBS),  meraih pingat emas dan sekaligus merangkul Anugerah Khas, “Bioeconomy Innovation of the Year” melalui produk inovasi Extraction of Fixed Oil & Thymoquinone Rich Fraction (TQGOLD), iaitu penghasilan sebatian bioaktif thymoquinone (TQ) yang terdapat di dalam biji Nigella Sativa, atau lebih dikenali sebagai habatussauda dengan menggunakan kaedah Supercritical Fluid Extraction (SFE).

Inovasi TQ berkesan untuk mencegah dan sebagai rawatan alternatif kepada penyakit-penyakit degeneratif seperti penyakit kardiovaskular dan kanser selain dapat mengekalkan kesihatan yang optimum kerana sifatnya yang kaya dengan antioksidan.
 
Prof. Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abd Rahman dari Pusat Penyelidikan Teknologi Enzim dan Mikrob, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul pula, mendapat pingat gangsa dengan inovasi Thermostable Organic Solvent-tolerant Protease.

Protease adalah sejenis enzim yang didapati daripada Bacillus subtilis sp. Rand yang bersifat organik. Enzim ini dapat diaplikasikan di dalam perindustrian makanan, minuman, serbuk pencuci dan lain-lain kerana sifatnya yang tahan haba, toleran kepada pelarut organik dan mempunyai ketahanan terhadap kemanisan yang tinggi.

Prof. Dr. Zulkifli Shamsuddin dari Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian juga memenangi pingat gangsa dengan produk Bacto 10: Liquid Biofertizer yang merupakan baja bio cecair yang mengandungi mikro organisma bukan patogen yang diasingkan daripada akar kelapa sawit dan mampu menghasilkan fitohormon bagi menggalakkan pertumbuhan akar dan meningkatkan kadar penyerapan air serta nutrien.

Sementara itu, Bioeconomy Innovation Awards merupakan anugerah yang pertama kali diadakan dengan anjuran bersama oleh MOSTI dan Malaysian Biotechnology Corperation (BiotechCorp) yang memfokuskan kepada meningkatkan dan mewujudkan permintaan bagi produk dan perkhidmatan industri berasaskan bio yang mempunyai nilai tambah dan mampan melalui sains, teknologi dan dasar inovasi.

Kategori yang dipertandingkan adalah Agriculture/Agro-based Industry, Bio-Industrial Technology, Health & Wellness dan Green & Renewable Technology yang menjadikan penjanaan pendapatan melalui pengkomersilan teknologi tersebut salah satu kriteria penting yang dinilai.

Antara universiti lain yang turut menyertai anugerah ini adalah Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. – UPM


SXDcUAy~