| Universiti Putra Malaysia

Penyelidik UPM perlu penuhi kehendak pasaran dan pengguna - SRI


SERDANG, 18 Januari – Universiti Putra Malaysia (UPM) digesa untuk memartabatkan nilai inovasi dengan memahami kehendak pasaran dan  pengguna zaman moden jika mahu kekal berdaya saing di pentas dunia.

Ahli Kumpulan Inovasi Stanford Research Institute (SRI), Claude Leglise berkata kepelbagaian tuntutan pengguna generasi baharu menuntut setiap organisasi memberikan tumpuan kepada aspek inovasi dalam mewujudkan sinergi pasaran semasa yang positif kepada kelangsungan perniagaan.

“Universiti (UPM) sememangnya hebat dengan kepelbagaian inovasi dan hasil ciptaan. Namun saban tahun kebanyakan dari inovasi yang dihasilkan mengalami kesukaran untuk dipasarkan.



“Setiap penyelidik perlu bijak menghasilkan produk yang lebih bersifat komersil. Sesuatu inovasi yang dihasilkan tidak akan mendatangkan manfaat sekiranya ia gagal memenuhi kehendak pengguna di luar sana.

“Kejayaan sesuatu inovasi sebenarnya ditentukan dengan keupayaan penyelidik memenuhi keperluan pasaran semasa,” katanya pada majlis syarahan khas beliau bertajuk Innovation and Commercialisation: Critical Requirements for Global Competitiveness di sini.

Lebih 300 peserta terdiri daripada pensyarah dan pelajar hadir mengikuti syarahan khas itu.

Turut hadir ialah Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, Prof. Dr. Bujang Kim Huat dan Pengarah Putra Science Park, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Sharif Mohamed Din.

Berita ini disediakan oleh Muhamad Najkhan Mazlan, 03-8946 6011 dan foto oleh Marina Ismail, 03-89468985


WXDdFAO~