| Universiti Putra Malaysia

Penyelidik UPM hasilkan nanoselulosa dari biomas sawit

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail

SERDANG - Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan nanoselulosa dari biomas sawit, dengan saiz diameter purata 20 hingga 100 nanometer (nm).

Nanoselulosa boleh dihasilkan daripada apa-apa bahan berasaskan selulosa seperti biomas tumbuhan, pulpa dan kertas serta kapas, namun kumpulan penyelidik UPM ini menggunakan selulosa yang diekstrak daripada biomas sawit.

Pensyarah, Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM,  Prof. Madya Dr Hidayah Ariffin berkata, produk yang dihasilkan itu mempunyai ciri yang setanding dengan naoselulosa yang dihasilkan di negara maju yang menggunakan bahan selulosa lain.

“Memandangkan Malaysia merupakan negara yang kaya dengan pokok kelapa sawit dan menghasilkan banyak biomas sawit, terdapat potensi untuk menghasilkan nanoselulosa daripada biomas sawit.

“Selulosa yang diekstrak daripada biomas kelapa sawit itu kemudian digunakan untuk menghasilkan nanoselulosa melalui kaedah pengisaran tertentu yang berjaya menghasilkan nanoselulosa yang mempunyai saiz diameter purata 20 hingga 100 nm,”  katanya pada sidang media di sini.

Prof. Madya Dr Hidayah yang juga ketua kumpulan penyelidik itu berkata, kaedah penghasilannya juga mudah dan cepat serta tidak membabitkan penggunaan bahan kimia.

Nanoselulosa berfungsi untuk meningkatkan ciri sesuatu produk seperti sebagai bahan penguat di dalam produk plastik, biokomposit, sebagai bahan untuk membran penapis, dan sebagai bahan pemekat rendah kalori dalam produk makanan.

Nanoselulosa adalah bahan berselulosa dalam skala nano (100 nm atau kurang) sama ada daripada segi diameter atau panjang. Jika dibandingkan dengan rambut manusia dewasa, sehelai rambut manusia berukuran kira-kia 80 mikrometer, dan oleh itu bagi nanoselulosa yang mempunyai ukuran 80 nm, saiznya adalah 1,000 kali ganda lebih kecil daripada sehelai rambut.

Beliau berkata nanoselulosa adalah bahan yang versatil dan boleh dihasilkan sesuai dengan aplikasinya.

Ia secara semulajadi memiliki sifat yang istimewa seperti kuat daripada segi mekanikal, mempunyai luas permukaan spesifik yang tinggi, boleh diperbaharui serta boleh terurai secara biodegradasi.

Sifat yang istimewa itu menjadikan nanoselulosa bahan yang sangat sesuai untuk diaplikasikan dalam pelbagai produk seperti produk biokomposit dan bahan pembungkus dengan fungsinya sebagai bahan menguatkan produk; membran penapis bagi penapisan air dan bahan penapis untuk topeng muka; bahan pemekat dalam produk makanan; serta sebagai pembawa untuk bahan aktif dan ubatan bagi produk kosmetik dan farmaseutikal.

Katanya, penyelidikan itu bermula pada 2013 dan dijalankan bersama penyelidik dari Jepun. Ia kini memasuki fasa pengkomersilan. - UPM

SXDdOAK~