Penyelidik UPM Dinobat Antara “world’s Most Highly Cited Researchers” | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Penyelidik UPM dinobat antara “world’s most highly cited researchers”

Penyelidik UPM dinobat antara “world’s most highly cited researchers”

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang


SERDANG, 21 Dis - Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Biswajeet Pradhan dinobatkan sebagai seorang daripada “world’s most highly cited researchers” dalam keluaran terbaharu laporan Highly Cited Researchers 2016.

Laporan itu diterbitkan oleh Clarivate Analytics, yang sebelum ini dikenali sebagai  Intellectual Property & Science, Thomson Reuters.

Dr. Pradhan, 41, adalah penyelidik pertama dari UPM yang dinamakan sebagai antara “world’s most highly cited researchers”, dan antara enam orang penyelidik dari Malaysia yang disenaraikan dalam laporan 2016 itu sebagai peneraju dan minda saintifik paling berpengaruh dunia oleh Thomson Reuters.

Beliau menerima pengiktirafan itu hasil penerbitan kajian saintifik yang banyak, yang disenaraikan dalam ranking tertinggi kelompok satu peratus (1 % tertinggi) “most cited” bagi bidang subjek dan tahun penerbitan. Indeks-H beliau dalam SCOPUS adalah 46.

Laporan Highly Cited Researchers 2016 itu menilai hampir 130,000 Highly Cited Papers yang diindeks untuk tempoh 11 tahun dari 2004 hingga 2014 dalam 22 bidang sains, perubatan dan sains sosial. Senarai 2016 itu mengandungi 3,265 penyelidik.

Dr. Pradhan yang bertugas di UPM sejak 2007, berkata beliau mendapat tahu mengenai pengiktirafan yang diterimanya itu melalui makluman menerusi e-mel yang dihantar oleh Thomson Reuters kepadanya bulan lalu.

“Meskipun saya ada menghasilkan beberapa penulisan daripada kajian saintifik, namun saya awalnya tidak percaya apa yang saya baca pada e-mel itu, saya ingatkan ia gurauan.

“Jadi, saya membalas semula e-mel itu untuk kepastian, selepas itu baru saya sedar ia adalah benar,” kata dalam temu bual di pejabatnya di sini.

 

Katanya, beliau bersyukur menerima pengiktirafan tinggi itu, lebih-lebih lagi beliau adalah yang pertama dari UPM disenaraikan dalam kalangan antara “world’s most highly cited researchers” dalam laporan Highly Cited Researchers itu.  

“Saya berharap ia boleh menjadi pendorong untuk lebih ramai lagi penyelidik dari UPM berusaha untuk menerima pengiktirafan seumpama itu.

“Ini amat besar maknanya, ia menunjukkan keupayaan bidang penyelidikan UPM serta impak UPM sebagai hab sains di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya sambil melahirkan penghargaan kepada Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris serta warga UPM atas sokongan yang membolehkannya menerima pengiktirafan itu.

Berpengalaman lebih 16 tahun mengajar, melakukan penyelidikan dan dalam bidang industri, Dr. Pradhan telah menulis 370 artikel dengan 270 daripadanya diterbitkan dalam indeks sitasi sains atau  “science citation index” (SCI/SCIE) jurnal antarabangsa.

Bidang pengkhususan beliau adalah penderiaan jauh (remote sensing), aplikasi sistem maklumat geografi (GIS), dan teknik soft computing berkaitan bahaya daripada alam semula jadi serta masalah alam sekitar. - UPM

 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112629