Penyelidik UPM Cipta Sistem Latihan Menjangka Bahaya Jalan Raya Pertama Negara | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Penyelidik UPM cipta sistem latihan menjangka bahaya jalan raya pertama negara

Penyelidik UPM cipta sistem latihan menjangka bahaya jalan raya pertama negara

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Foto oleh Mohd Hastul Hamdan



SERDANG, 31 Mei –  Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM) atau Road Safety Research Centre (RSRC)  berjaya  membangunkan sistem baharu latihan menjangka bahaya jalan raya atau Hazard Perception Training (HPT) yang pertama di Malaysia untuk keperluan pemandu/penunggang kenderaan negara ini.
 
Menurut pencipta inovasi itu, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua, sistem latihan yang dijalankan bukan sahaja mendedahkan pelatih (pemandu/penunggang motosikal) kepada persekitaran dan keadaan jalan raya serta lalulintas di Malaysia tetapi juga memberi penekanan kepada kaedah yang lebih sistematik dan tepat dalam menilai keupayaan persepsi atau menjangka bahaya di kalangan mereka.
 
“Melalui sokongan dan kerjasama Petron, sistem baharu HPT itu buat pertama kalinya akan diperkenalkan di UPM. Pelajar UPM berumur berumur 19 tahun hingga 25 tahun dari pelbagai fakulti akan terbabit dalam latihan itu bermula Jun hingga Disember 2016,” katanya.

HPT dilancarkan dalam Petron’s Road Safety Programme yang memasuki tahun keempat hari ini bertujuan untuk mempromosi tingkahlaku pemanduan dan penunggangan kenderaan yang baik dan selamat dalam kalangan pelajar.

Kempen program itu menjelajah sembilan buah universiti dengan kerjasama Honda dan Goodyear Malaysia untuk mempromosikan keselamatan jalan dan diperakui oleh JKJR.

HPT ialah koloborasi khas pertama Petron dengan RSRC UPM untuk mengkaji keupayaan pengguna jalan raya menjangka dan mengelakkan potensi bahaya dalam persekitaran lalu lintas. Ia juga membantu untuk mengenalpasti tabiat penunggang motosikal dan meningkatkan kemahiran persepsi trafik mereka dengan menyediakan mereka dengan latihan persepsi bahaya.



Dr. Law yang merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya UPM berkata penyelidikan sains menunjukkan kegagalan ‘menjangka’ bahaya di jalan raya adalah satu daripada sebab utama kemalangan.
 
“Kemahiran menjangka bahaya adalah penting untuk tindak balas apabila bahaya sebenar berlaku. Ketika itu, satu keputusan atau tindakan pantas bagi mengelakkan kemalangan boleh dilambil oleh pemandu kenderaan atau penunggang motosikal bagi mengelakkan kemalangan.
 
“Jika dibandingkan dengan pemandu yang berpengalaman, terdapat bukti bahawa pemandu baharu berdepan lebih kesukaran dalam menjangka keadaan bahaya ketika di jalan raya.
 
“Pemandu yang kurang berpengalaman mengambil masa yang lebih panjang untuk memiliki persepsi kompleks dan kemahiran kognitif serta penumpuan visual, dan kebolehan untuk menilai sendiri kemahiran pemanduan mereka,” katanya.
 
Dr. Law berkata ujian persepsi bahaya yang dimasukkan dalam kurikulum ujian memandu di beberapa negara seperti Australia, Kanada dan United Kingdom mendapati calon ujian memandu yang telah mengikuti HPT adalah lebih cepat mengesan bahaya jalan raya dan mereka mampu mengesan lebih aspek bahaya jalan raya berbanding yang tidak mengikuti HPT.
 
“Walau bagaimanpun, HPT belum dilaksanakan di Malaysia. Justeru, keupayaan pemandu untuk menjangka potensi situasi bahaya tidak boleh dinilai.  Oleh itu, di Malaysia, satu daripada faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya adalah kelemahan kemahiran dalam menjangka bahaya.
 
“HPT lebih relevan bagi penunggang motosikal kerana menunggang motosikal lebih kompleks dan memerlukan kemahiran, koordinasi fizikal dan imbangan, berbanding memandu kereta.
 
“Sehubungan itu, kegagalan penunggang motosikal untuk menjangka bahaya jalan raya boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. Di Malaysia, lebih separuh daripada kemalangan maut membabitkan motosikal,” katanya.

Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511348048