Penyelidik Hasilkan Makanan Haiwan Berasaskan PKC Dan Sinbiotik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Penyelidik hasilkan makanan haiwan berasaskan PKC dan sinbiotik

Penyelidik hasilkan makanan haiwan berasaskan PKC dan sinbiotik

Oleh Azman Zakaria

Foto Saleha Haron

 

                                                             

 

SERDANG, 29 Nov- Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan makanan haiwan berasaskan isirung kelapa sawit (PKC) yang diadun bersama sinbiotik (synbiotics) yang menghasilkan pelbagai enzim, protin dan metabolit seterusnya meningkatkan kandungan nutrisi dan prebiotik makanan itu.

Produk yang diberi nama ‘Thohira Symbiotic’ itu menggalakkan tumbesaran haiwan ternakan setanding produk komersil lain tetapi dengan kos yang lebih ekonomik.

Justeru, penternak akan dapat meningkatkan keuntungan.  

PKC adalah sisa industri kelapa sawit yang mempunyai nutrisi yang rendah dan tidak sesuai untuk dimakan oleh ikan dan ayam ternakan, namun penggunaan teknologi ‘Thohira Symbiotic’ berjaya meningkatkan nutrisi PKC dan membolehkannya digunakan dalam formula makanan ternakan pada konsentrasi  tinggi (25-35 peratus) tanpa memberi kesan buruk terhadap tumbesaran haiwan.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Dr. Shuhaimi Mustafa berkata, produk ‘Thohira Symbiotic’ adalah suci serta bersih, dan sesuai untuk digunakan oleh penternak muslim.

 

                                                         

 

Katanya, teknologi itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import seperti soya dan jagung untuk makanan ternakan, sekali gus menyumbang kepada penurunan beban kos makanan ternakan yang ditanggung oleh pengusaha.

Prof. Dr. Shuhaimi yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM berkata, makanan ternakan yang formulanya mengandungi teknologi Thohira akan memiliki kandungan nutrisi serta prebotik (Mannan-Oligosaccharides) yang meningkatkan kualiti makanan dan merangsang pertumbuhan mikroorganisma baik dalam sistem penghadaman haiwan.

Katanya, teknologi itu yang dilesenkan kepada syarikat Halways Sdn Bhd sudah berada di pasaran melalui produk makanan ternakan industri akuakultur sejak Mac 2017, manakala bagi industri unggas syarikat berkenaan sedang mengujinya di ladang ayam pedaging berskala komersil.

Beliau berkata, penyelidikan itu yang bermula pada Januari 2015 dan tamat pada Mac 2017 turut digerakkan oleh Prof. Madya Dr. Yunus Abd Shukor; Ketua Pegawai Eksekutif Halways Sdn Bhd, Muhamad Akhmal Hakim Roslan; dan Muhamad Amin Jahari.

Halways Sdn Bhd turut bekerjasama dengan NAFAS Freedmills Sdn Bhd iaitu anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam mengaplikasikan teknologi Thohira bagi menghasilkan produk makanan ternakan ekonomi berprestasi tinggi mengikut keperluan dan kehendak industri berskala besar. - UPM

 

 

Kemaskini:: 08/12/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1534367597