| Universiti Putra Malaysia

Penubuhan Universiti Pertanian baharu tidak perlu – Sultan Sharafuddin

Tanah UPM kurniaan Nenda baginda harus dimajukan untuk kepentingan pendidikan tinggi

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Gambar oleh Marina Ismail


Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah


SERDANG – Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah cadangan menubuhkan Universiti Pertanian baharu adalah tidak perlu sebaliknya peruntukan yang ada bagi penubuhan tersebut sewajarnya disalurkan kepada UPM untuk memperkasa pertanian berimpak tinggi secara lestari dan membawa impak yang bermakna kepada masyarakat.

Baginda menekankan walaupun Universiti itu telah bertukar nama daripada Pertanian kepada Putra, UPM masih terus memperkukuhkan bidang agribio yang menjadi teras penubuhannya seperti pertanian, perhutanan dan veterinar, selain disiplin berkaitan selaras dengan keperluan masyarakat dan negara.

“Pengiktirafan sebagai Universiti Penyelidikan, Pusat Kecemerlangan bagi Pendidikan Pertanian dan Pusat Kecemerlangan Agro-Bioteknologi menunjukkan UPM sentiasa menyokong matlamat dasar kerajaan untuk meningkatkan daya saing dan kompetitif rantaian nilai sektor pertanian, selain meningkatkan pengeluaran makanan negara secara mampan.


Tuanku Canselor mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Prof. Dr. Mario Matsunaga, Presiden Kyushu Institute if Technology, Jepun


“Beta berharap kerajaan dan Kementerian Pendidikan akan terus memberikan sokongan padu terhadap usaha UPM meneraju pendidikan dan penyelidikan bidang pertanian,” baginda bertitah semasa Majlis Konvokesyen UPM ke-37 sesi pertama di sini.

Selain itu Sultan Sharafuddin berharap tanah UPM yang asalnya dikurniakan oleh Almarhum Nenda baginda bagi manfaat masyarakat setempat dan global akan terus dimajukan untuk kepentingan pendidikan tinggi.

Baginda bangga dengan kecemerlangan UPM melahirkan modal insan yang menyumbang perkembangan teknologi negara terutama dalam bidang pertanian dan berkaitan pertanian.

Baginda berharap legasi kecemerlangan UPM dalam bidang pertanian sejak 82 tahun yang lalu akan menjadi contoh dan sumber rujukan rakyat dan negara dalam meningkatkan kualiti  pendidikan dan penyelidikan.

 


Tuanku Canselor UPM bersama lima penerima Pemenang Hadiah Universiti


“UPM selaku universiti yang memfokus bidang niche pertanian dan biosumber, harus melakukan anjakan paradigma untuk menyalurkan kepakaran mereka kepada masyarakat dan negara melalui penerbitan buku-buku panduan, penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi, media sosial dan laman web,” titah baginda.  

Dalam pada itu baginda bertitah, UPM berperanan meningkatkan sekuriti makanan, terutamanya dalam pembangunan sumber manusia, pembekalan dan pemindahan teknologi serta penasihatan dasar pertanian dan makanan untuk berdepan dengan cabaran sektor pertanian negara kini yang rendah produktiviti akibat kurangnya penggunaan amalan teknologi terkini dan amalan pertanian yang tidak komersil.  

“Melalui usaha Pertanian Bandaran yang diketengahkan oleh UPM, universiti ini dapat menjadi pemangkin ke arah pembentukan bandar yang dapat menghasilkan makanan sendiri, menjana pendapatan, mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan interaksi sosial, dan menggunakan semula bahan buangan dan air,”  titah Sultan Sharafuddin.

“Beta berharap pertanian bandaran ini melibatkan aktiviti dalam bidang perhutanan, sains makanan, sains veterinar, teknologi halal dan  biosumber yang relevan dengan kawasan bandar dan pinggir Bandar,”  titah Sultan Sharafuddin.

 

Baginda juga tertarik dengan program Education Park UPM (Edu-Park UPM) berkonsepkan edupelancongan iaitu Taman Konservatori UPM, Muzium Anatomi Manusia, Galeri Serdang, Muzium Anatomi Haiwan, Ladang 16, Pusat Ekuin, Putra Dairy dan SISFEC (Sultan Idris Shah Forest Education Centre) sebagai antara lokasi pelancongan di Malaysia.

Pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UPM ke-37 itu, baginda mengurniakan ijazah kepada 795 graduan diketuai penerima Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Prof. Dr. Morio Matsunaga, Presiden Kyushu Institute of Technology (Kyutech) Jepun.

Keseluruhan seramai 7,149 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 26 Oktober hingga 29 Oktober ini. Daripada jumlah itu, penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 440, Ijazah Sarjana (Master) seramai 2,197, Bacelor (4,158) dan Diploma (354). 


WXEUMAV~