| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah UPM terima Geran Anugerah Merdeka 2012-2013

Oleh Muhamad Najkhan Mazlan
Foto oleh Marina Ismail

 



KUALA LUMPUR, 28 Jun (UPM) – Pensyarah Kanan Jabatan Akuakultur, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Natrah Fatin Mohd Ikhsan terpilih sebagai penerima Geran Anugerah Merdeka 2012-2013 bagi menjalankan kajian dalam bidang mikrobiologi akuakultur.

Geran tersebut disampaikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka membolehkan beliau melaksanakan kajian jangka pendek di institusi luar negara yang terpilih.

Berkata pada sidang media, Dr. Natrah memberitahu beliau tidak menyangka diumumkan sebagai salah seorang penerima anugerah kerana persaingan yang agak tinggi daripada pemohon lain melalui penilaian ketat secara berperingkat dan temu duga.



“Sememangnya saya bersyukur kerana kertas saya diterima untuk memenangi geran berprestij ini. Masa tiga bulan yang diberikan untuk melaksanakan kajian ini akan saya manfaatkan sebaik-baiknya untuk mewujudkan jaringan yang lebih luas dengan pakar dan institusi terkemuka dunia bagi manfaat kepada negara,” katanya di sini.

Dr. Natrah menerangkan kajian yang beliau jalankan adalah mengenai penggunaan mikrob bagi meningkatkan mutu persekitaran dan kesihatan ternakan akuakultur di negara ini.



Antara projek yang kini dijalankan oleh Dr. Natrah adalah berkenaan kegunaan synbiotic (prebiotik dan probiotik) dan teknologi biofloc untuk mendapatkan hasil pengeluaran akuakultur yang lebih tinggi di samping kesihatan ternakan yang terpelihara dan pengurusan akuakultur yang mapan. 

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat  Anugerah Merdeka, Joseph Edwin menjelaskan nilai geran akan diputuskan berdasarkan kepada lokasi dan pelbagai faktor diperlukan untuk melaksanakan kajian tersebut.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar.


SXEUPAa~