| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah UPM menang Anugerah Buku Negara 2018

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

KUALA LUMPUR, 30 April – Tiga pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan dan Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Anugerah Buku Umum Terbaik kategori Flora dan Fauna pada Majlis Anugerah Buku Negara 2018.

 

Buku yang ditulis oleh Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit, Dr. Mohamad Ridzwan Ishak dan Prof. Madya Dr. Zulkifle Leman yang berjudul Pokok Enau: Potensi dan Pembangunan Produk ditulis hasil daripada penyelidikan yang dilakukan dan kesinambungan daripada projek komuniti UCTC NBOS yang dijalankan oleh UPM.

 

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Pemasaran, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM, Dr. Samsudin Yaacob pula memenangi Anugerah Buku Umum Terbaik (Kategori Peraturan Awam & Swasta) melalui buku berjudul Enforcement Operations: Public & Private Enforcement Agencies. Buku itu berdasarkan technical skill sebagai panduan pegawai-pegawai penguatkuasaan dalam menjalankan tugasan penguat kuasa terutama dalam pencegahan jenayah.

 

Pensyarah Kanan, Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Prof. Madya Dato’ Dr. Norhasni Zainal Abidin dan Halim Ibrahim memenangi Reka Bentuk Terbaik bagi buku berjudul Istana Pahang (The Palace of Pahang).

 

Ketiga-tiga buku tersebut adalah terbitan Penerbit UPM. – UPM

 

WXEUCA~