| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah dan pelajar UPM menang anugerah Malaysia Toray Science Award

Oleh Nur Azimah Ibrahim



KUALA LUMPUR, 15 Dis – Pensyarah dan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi anugerah Malaysia Toray Science Award (MTSF) yang diadakan di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur pada 2 Disember yang lalu.

Pensyarah dari Fakulti Pertanian UPM iaitu Prof. Dr. Shamsuddin Jusop meraih anugerah MTSF atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang sains dan teknologi di negara kita.

Beliau memenangi anugerah itu kerana hasil teknologi yang dapat meningkatkan kualiti pengeluaran padi di Malaysia ke arah mencapai standard yang ditetapkan.

Prof. Shamsuddin menerima cek bernilai RM30,000 daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin pada majlis tersebut.



Sementara itu, pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Elaine Chin Jinfeng meraih anugerah itu melalui projek bertajuk identification and bioactive potential of Endophytes isolated from Strobilanthes cripus, a local medical plant in Malaysia.

Beliau menerima cek bernilai RM20,000 sebagai geran penyelidikan atas kejayaan menghasilkan inovasi yang dijalankan bersama-sama penyelianya iaitu Prof. Madya Dr. Cheah Yoke Kquuen.

“Dana ini dapat membantu saya untuk menjalankan kajian dan menyambung pengajian di peringkat Ph.D dalam bidang medicinal plants,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Ambassador Extraordinary and Plenipotentiary of Japan, Dr. Makio Miyagawa dan Senior Vice President Toray Industries, Mr. Hiroshi Murakami.

MTSF bermula daripada Yayasan Toray Jepun dan dibiayai secara langsung oleh Torey Science Foundation Jepun untuk mempromosikan sains dan teknologi dengan menyokong usaha-usaha yang dijalankan oleh saintis, penyelidik muda serta tenaga pengajar dalam bidang sains.

Anugerah kali ke 21 itu bermula pada tahun 1994 mendapat penyertaan dari seluruh dunia dan melibatkan tiga program tahunan iaitu Science and Technology Award, Science and Technology Research Grant dan Science Education Award.



WXDdNAt~