Pengetahuan Keselamatan Air Dalam Pencegahan Kemalangan Kelemasan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pengetahuan keselamatan air dalam pencegahan kemalangan kelemasan

Pengetahuan keselamatan air dalam pencegahan kemalangan kelemasan

Oleh Auliyaa Putri Ulfana

 

                                                                                                    

 

 

SERDANG, 28hb Sept- Pengetahuan tentang keselamatan air mestilah diketahui umum terutamanya ketika ini dengan peningkatan kes kemalangan mati lemas di Malaysia.

Orang awam perlu diingatkan bahawa keselamatan air tidak hanya memahami tentang kemampuan berenang tetapi pada dasarnya ia dapat dipelajari di mana-mana, malah tanpa sebarang kemampuan untuk berenang.

Oleh sebab itu, Prof. Madya Dr. Tengku Fadilah Tengku Kamalden, dari Jabatan Pengajian Sukan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) mewujudkan Kursus Dalam Talian Bertauliah (CoC) Keselamatan Air.  

Kursus dalam talian keselamatan air dwibahasa ini memudahkan peserta, kerana ia dapat dipelajari tanpa memijakkan kaki di kolam renang. Tambahan pula, kursus ini dapat diakses dari mana-mana dan boleh disertai dalam tempoh yang ditentukan oleh peserta sendiri.

Inovasi Kursus Dalam Talian Bertauliah (CoC) Keselamatan Air juga merupakan modul kursus Keselamatan Air dalam talian interaktif pertama dunia yang menggunakan pendekatan ‘pembelajaran sosial’ yang mewujudkan interaksi antara pelajar dengan pakar atau pemudah cara secara langsung.

 

                                                                                                

 

Projek tersebut yang telah dimulakan pada bulan Julai 2016 hingga Ogos 2017, memperoleh dua hak cipta dan tanda dagangan selain empat modul.

Modul tersebut terdiri daripada keselamatan air, sekuriti berhampiran air, hak keselamatan air dan mari menjadi mahir.

“Diharapkan, dengan kursus dalam talian ini mulai sekarang semua orang akan selamat apabila berada berhampiran air dan di dalam air.”

“Selain itu saya ingin menimbulkan kesedaran awam terhadap kepentingan mempelajari keselamatan air, kerana tanpa kita sedari, air ialah tempat yang berbahaya bagi manusia, sama ada di kolam renang, sungai atau tasik,” tambah beliau semasa sidang akhbar.

Sasaran utama kursus dalam talian ini ialah pelajar, pendidik, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak.

Sebaik sahaja teknologi ini dipasarkan, ia dapat digunakan oleh pelbagai industri misalnya, kementerian pendidikan, kementerian pelancongan (hotel, perniagaan sukan air, dan chalet), serta kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (kolam renang, tasik dan taman rekreasi).

Untuk menyertai kursus, peserta hanya perlu mengakses dan memohon melalui keselamatanair.com.my, dengan bayaran hanya RM80 dan kemudian menerima sijil daripada UPM dan Pembelajaran Terbuka yang disahkan oleh Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia.

 

Tarikh Input: 06/10/2017 | Kemaskini: 10/10/2017 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1542060878