Pendidikan Sama Rata Boleh Dicapai Melalui Pelaburan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pendidikan sama rata boleh dicapai melalui pelaburan

Pendidikan sama rata boleh dicapai melalui pelaburan


Oleh:  Azman Zakaria
Foto oleh: Noor Azreen Awang

PUTRAJAYA, 5 Dis - Pendidikan sama rata boleh dicapai melalui pelaburan atau perbelanjaan dalam pendidikan kerana ia memberi kesan positif jangka panjang.

Bekas Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta, berkata pelaburan dan perbelanjaan dalam pendidikan akan meningkatkan bilangan golongan berpelajaran dan berkemahiran, yang seterusnya akan meningkatkan kebolehpasaran, potensi dan produktiviti.

Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) 2016 di sini, beliau berkata rasionalnya ialah ia akan meningkatkan pendapatan isi rumah yang mempunyai kaitan secara langsung dalam meningkatkan pengagihan sama rata kekayaan negara.

“Ini boleh dan selalunya akan membawa kepada keadaan masyarakat yang lebih sama rata, sekali gus menyumbang ke arah memudahkan pembangunan yang seimbang,” katanya.



Dr Jose Ramos-Horta yang memenangi Nobel Peace Prize Laureate 1996, juga berkata pelaburan dalam pembangunan sumber manusia membabitkan latihan pada semua peringkat dari pegawai paling senior sehingga kakitangan paling rendah dalam institusi akademik, adalah sangat penting.

Katanya, ia akan membolehkan pegawai kanan boleh mengurus serta membantu kakitangan lain memupuk kemahiran yang berkaitan dalam penyusunan semula atau pembangunan kaedah dan proses baharu pendidikan.

Dr Jose Ramos-Horta juga berkata Timor-Leste yang mencapai kemerdekaan pada  2002 kaya dengan sumber asli tetapi pembangunan sektor pertanian merupakan  keutamaan dalam pembangunan negara itu.

“Kita di Timor, bukan hanya mahu memelihara sekuriti manakan tetapi juga memelihara keselamatan dalam pengeluaran makanan  – makanan yang selamat untuk dimakan oleh rakyat kita dan mereka di luar negara yang membeli  makanan kita,” katanya. – UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506248141