| Universiti Putra Malaysia

Pendaftar UPM gesa tingkatkan pengurusan KKP


SERDANG, 22 Nov – Setiap pusat tanggungjawab (PTJ) di Universiti Putra Malaysia (UPM) digesa untuk meningkatkan tahap kecekapan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat kepada warganya.

Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar berkata setiap PTJ perlu memikirkan idea baru dan mencari alternatif yang berkesan bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

“Setiap warga UPM perlu didedahkan dengan maklumat berkaitan KKP. Pelaksanaan kempen secara berterusan hendaklah dilakukan bagi menyemai sifat tanggungjawab terhadap keselamatan diri di tempat kerja.



“Semua pihak termasuk pelajar perlu memberikan komitmen kepada setiap program KKP yang dijalankan,” katanya semasa merasmikan majlis penutup minggu KKP UPM 2012 di sini.

Beliau menambah jawatankuasa KKP induk dan PTJ hendaklah sentiasa proaktif memainkan peranan dan berkerjasama antara satu sama lain.

“Setiap ahli jawatankuasa yang dilantik perlu mengkaji trend kemalangan terkini, menilai kembali keberkesanan setiap kempen yang telah dijalankan dan memastikan pengurusan KKP di setiap PTJ benar-benar mengikut piawaian standard of procedure (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Institut Biosains (IBS) dinobatkan sebagai jawatankuasa KKP paling aktif di UPM. Pemilihan IBS adalah berdasarkan kepada tujuh kriteria yang ditetapkan merangkumi pengurusan aktiviti KKP yang dijalankan dengan cekap, bersepadu dan konsisten.



SXDdTA~