PELANTIKAN NAIB CANSELOR UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » PELANTIKAN NAIB CANSELOR UPM

PELANTIKAN NAIB CANSELOR UPM


PUTRAJAYA, 3 Januari - Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan pelantikan YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Hj. Ramlan, 52, sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu untuk tempoh selama tiga (3) tahun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013 hingga 31 Disember 2015.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang akademik selama 24 tahun menggantikan Prof. Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi.

 Asas-asas Pemilihan

Menurut kenyataan akhbar Menteri Pengajian Tinggi, YB. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini, asas-asas pemilihan Naib Canselor ialah kerana UPM merupakan sebuah universiti berstatus penyelidikan yang mempunyai pelbagai kepakaran dan niche dalam bidang pertanian.

“Pemilihan Prof. Datuk Dr. Fauzi Ramlan sebagai Naib Canselor UPM adalah berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian serta mengambil kira pengalaman akademik, penyelidikan, dan kepakaran beliau serta pengalaman memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia.

“Pemilihan beliau diharapkan dapat membawa UPM ke tahap yang lebih tinggi di peringkat negara dan juga antarabangsa,” katanya.

Fokus dan Cabaran UPM

Sebagai Naib Canselor baharu, kementerian berharap beliau dapat memastikan UPM akan terus memberi fokus kepada isu dan cabaran kecukupan makanan (food security) dalam konteks negara dan global.

“Peranan ini boleh dicapai melalui penghasilan modal insan berpengetahuan tinggi dan hasil penyelidikan yang dapat mencipta ilmu baharu yang mampu melonjakkan lagi kualiti sektor pertanian negara khususnya. Ini bersesuaian dengan matlamat UPM menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan, Penyelidikan dan Perkhidmatan Pertanian, dan Biosumber Tropika yang tersohor dan berwibawa,” katanya.

Latar belakang pendidikan dan kerjaya

Prof. Datuk Dr. Fauzi b. Hj. Ramlan dilahirkan pada 15 Oktober 1960 dan berasal dari Johor. Beliau mempunyai Diploma Pertanian daripada Universiti Pertanian Malaysia, diikuti dengan Bachelor of Science (Agronomy) dari Iowa State University, Master of Science dari Louisiana State University dan seterusnya PhD. (Biology) dari Universiti of York.

Beliau merupakan Profesor dalam bidang pertanian di Universiti Putra Malaysia dan  telah berkhidmat di UPM semenjak 29 April 1986 sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di UPM, beliau pernah berkhidmat di Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Pengarah di Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Pelajar pada 1 Oktober 2006.

Sepanjang perkhidmatan di UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi pernah menjawat jawatan sebagai Prof. Madya di Jabatan Sains Pertanian dan juga Pengetua Kolej Kedua. Dilahirkan pada 15 Oktober 1960, beliau menganggotai Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ahli Ganti LPU Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (J.S.M) 2009 dan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka - Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) 2011 yang membawa gelaran Datuk.

Penghargaan dan Terima Kasih Kepada Naib Canselor Terdahulu

Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kementerian Pengajian Tinggi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Radin Umar bin Radin Sohadi, mantan Naib Canselor UPM. Kepimpinan dan bakti yang dicurahkan beliau semenjak dilantik pada Januari 2011 telah berjaya mengekalkan kecemerlangan UPM sebagai sebuah universiti yang ulung di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 


Berita ini disediakan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi, UPM dan foto oleh Mohammad Izrul bin Abdul Jabar 

Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563472540