Pelajar UPM Wakil Belia Malaysia Ke Sidang Kemuncak Belia ASEAN-Rusia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar UPM wakil belia Malaysia ke Sidang Kemuncak Belia ASEAN-Rusia

Pelajar UPM wakil belia Malaysia ke Sidang Kemuncak Belia ASEAN-Rusia

Oleh: Siti Aisah Harun

MANILA, 26 Nov – Pelajar Sarjana Sains, Institut Teknologi Maju (ITMA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Alya Hananin, 24, mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak Belia ASEAN- Rusia Kelima di Manila, Filipina baru-baru ini.

Alya adalah seorang daripada empat wakil belia Malaysia ke persidangan antarabangsa itu yang turut dihadiri wakil dari setiap negara ASEAN dan Rusia.

Beliau terpilih mewakili Malaysia setelah menjalani siri program pemilihan yang merangkumi penulisan esei, ujian psikometri, tugasan berkumpulan, pengucapan awam, dan sesi temuduga, oleh Kementerian Belia dan Sukan yang membabitkan 5,000 orang calon dari seluruh Malaysia berumur 18 hingga 34 tahun.

“Saya berasa amat bertuah kerana terpilih menyertai program ini serta bangga dapat memperkenalkan budaya masyarakat Malaysia serta nama UPM dalam kalangan belia ASEAN dan Rusia,” katanya.

Sidang kemuncak belia yang bertemakan “Enhancing People-to-People Connectivity between ASEAN and Russia” itu menggalakkan persefahaman bersama antara negara-negara ASEAN dan Rusia melalui perbincangan dan aktiviti kebudayaan.

Persidangan itu berjaya merangka Deklarasi “Young People’s Contribution to ASEAN-Russia Relations: Enhancing People-to-People Connectivity” yang berfokus kepada tiga teras iaitu pendidikan, pertukaran budaya, serta pertukaran ekonomi dan perdagangan.

 

Sejak penubuhannya, sidang kemuncak belia itu telah menyediakan peluang kepada belia dari pelbagai institusi dan organisasi negara- negara ASEAN dan Rusia untuk berkongsi pandangan dan idea mengenai peningkatan kerjasama serantau ASEAN- Rusia.

Peserta sidang kemuncak belia ini juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte di kediaman rasminya, Malacañang Palace. - UPM

 

Tarikh Input: 06/01/2020 | Kemaskini: 07/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKcGAr:06:54