| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM sertai program mobiliti di Universiti Al al-Bayt, Jordan

Oleh: Mohd Azrol Hafizi Azman

JORDAN, 13 Feb – Tujuh belas pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) terdiri daripada 14 orang pelajar Bacelor Sastera (Bahasa Asing) Pengkhususan Bahasa Arab dan tiga pelajar Master Sastera Bahasa Arab dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) menyertai Putra Arabiy Mobility Programme dalam lawatan sebulan di Universiti Al – al-Bayt, Jordan baru-baru ini.

Dua pegawai pengiring ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Asing, FBMK, Dr Nik Farhan Mustapha serta Ketua Seksyen di Pusat Pengurusan Waqaf, Zakat dan Endowmen UPM, Zuhaimi Abdul Rahim.

Program itu turut mendapat tajaan dari Pusat Pengurusan Waqaf, Zakat dan Endowmen UPM, Sekolah Pengajian Siswazah UPM dan Pusat Antarabangsa, UPM.

Putra Arabiy Mobility Programme turut melakukan kerjasama dengan syarikat Ana Arabiy bagi menguruskan penginapan serta pendaftaran pengajian di Pusat Bahasa Arab bagi penuntut bukan jati dalam universiti itu.

Mereka turut diundang ke pusat Radio Suara Universiti (Izā’atu Sauti Al-Jāmi’at), Universiti Al al-Bayt bagi sesi pengenalan terhadap kepelbagaian fakulti dan bangunan penting yang terdapat di universiti itu.

Pihak radio menjemput wakil Putra Arabiy Mobility Programme berkongsi pendapat mengenai negara Jordan serta pengajian yang mereka ikuti.

Pelajar Master Sastera Bahasa Arab, FBMK, Ahmad Syahmi Mohamed dipilih sebagai wakil untuk membuat perkongsian mengenai pengalaman ahli delegasi dalam menyesuaikan diri dengan cuaca, persekitaran dan budaya masyarakat Arab Jordan khususnya di bandar Mafraq.

Temu bual berdurasi 15 minit itu berjaya membina hubungan baik antara pihak radio Universiti Al al-Bayt dan delegasi mobiliti UPM.

Pertemuan itu dirancang secara spontan oleh penyampai radio itu Dr. Soleh selaku koordinator utama pusat radio berkenaan.

Pusat radio itu dianggotai barisan ahli akademik Universiti Al al-Bayt di kalangan pensyarah. Radio berfrekuensi 103.5 mh.z ini dapat didengari oleh masyarakat di bandar Mafraq seluruhnya serta sebahagian kawasan di Amman.

Universiti itu pernah menjadi pusat pengajian bekas Menteri Pelajaran Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

UPM turut diundang oleh koordinator utama dalam Siaran Radio Suara Universiti dengan berkongsi pengalaman dalam pelbagai tajuk antaranya pembelajaran bahasa Arab dan kerjasama baik dengan pihak Pusat Bahasa Universiti Al al-Bayt, latihan pertuturan bahasa Arab di luar bilik kuliah bersama para pelajar penutur jati, lawatan ke tempat pelancongan seperti di ibu kota Amman, keistimewaan tempat pengajian di UPM, keindahan tempat pelancongan di Malaysia dan Jordan serta sosio-budaya masyarakat di Malaysia dan Jordan. - UPM

 

 

SXETOAX~