Pelajar UPM Raih RM11ribu Dari Perniagaan Burung Puyuh | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar UPM raih RM11ribu dari perniagaan burung puyuh

Pelajar UPM raih RM11ribu dari perniagaan burung puyuh

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 29 Ogos ( UPM) - Seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM ) telah berjaya meraih keuntungan sebanyak RM11, 000 hasil daripada perniagaan burung puyuh yang diusahakan dalam satu program latihan perniagaan khas kendalian universiti.

Program yang memakan masa selama dua bulan tersebut bertujuan untuk mengasah kemahiran perniagaan dalam kalangan pelajar.

Ia dianjurkan oleh Pusat Transformasi Komuniti (UCTC) UPM, di mana 15 orang graduan telah dipilih sebagai peserta untuk menjayakan program perintis dari 22 Jun hingga 28 ogos 2013.

Sepanjang tempoh latihan itu, graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Nur Hani Ithanin berjaya memperolehi hasil berjumlah RM24, 000 dan membuat keuntungan bersih berjumlah RM11, 000 melalui perniagaan burung puyuh beliau.



Hasilnya, beliau telah berjaya menggondol hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM1, 500, sebuah plak, sijil serta pakej lawatan perniagaan ke Guangzhou, China.

Di bawah program UCTC Trading Entrepreneurship Challenge (TRADEC'13), para peserta telah dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan melalui teori, simulasi dan praktikal selain turut dibimbing oleh usahawan yang berjaya dalam bidang masing-masing.

"TRADEC'13 telah banyak membantu saya dalam menjalankan perniagaan melalui ilmu dan bimbingan keusahawanan yang diberikan oleh usahawan berjaya, di mana mereka juga turut berkongsi pengalaman dengan kami dalam program ini.

"Program sebegini sememangnya telah mendorong saya untuk meneruskan perniagaan ini dan saya juga akan mencari lebih banyak peluang untuk meluaskan pasarannya," kata Nur Hani semasa sessi minum petang sempena Anugerah Kecemerlangan Tradec'13 di sini, hari ini.



Tempat kedua telah dimenangi oleh Siti Hawaliah Damanshah, graduan dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi yang menjalankan perniagaan busana Muslim. Beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1, 000, sebuah plak, sijil serta pakej lawatan perniagaan ke Guangzhou.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh graduan dari Fakulti Pertanian, Nurul Fatrah Mohd Ramli dengan  perniagaan ayam bakar masak madu yang disajikan di dalam mangkuk tembikar, selain menyediakan kelas tuisyen di rumah. Beliau menerima wang tunai berjumlah RM500, berserta sebuah plak dan sijil.

Nurul Fatrah juga telah dinobatkan sebagai pemilik domain terbaik dan melayakkan beliau menerima pakej domain selama setahun yang ditaja oleh niaganews.com.

Semua peserta dinilai sepanjang kursus tersebut dan 50 % daripadanya diperolehi melalui penilaian pembentangan akhir mereka.



Pengarah UCTC, Prof Dr. Nordin Abd. Rahman berkata, setiap peserta dipilih dari kalangan graduan dan penilaian dibuat berdasarkan kekuatan dan keupayaan masing-masing untuk berjaya sebagai seorang peniaga dan usahawan.

"Para peserta telah didedahkan dengan pengetahuan perniagaan dan keusahawanan selama 10 hari sebelum mereka memulakan perniagaan masing-masing.

"Sepanjang kursus tersebut, para pensyarah dan mentor turut hadir bagi membantu melalui kemahiran masing-masing, membimbing para peserta supaya dapat menimba ilmu dan pengalaman berharga yang boleh dimanafaatkan oleh mereka untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.



Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Mohammad Shatar Sabran dalam ucapannya berkata, beliau berharap TRADEC akan diteruskan pada masa hadapan.

"Harapan saya supaya TRADEC'14 dapat diteruskan dan berharap Kementerian Pelajaran akan menyediakan peruntukan untuk menjayakan program ini bagi melahirkan graduan usahawan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan," ujar beliau. – UPM

LH/KAM

Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563455277