Pelajar UPM Pelajari ‘gogo Rancah’ Di Lombok, Indonesia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar UPM pelajari ‘gogo rancah’ di Lombok, Indonesia

Pelajar UPM pelajari ‘gogo rancah’ di Lombok, Indonesia

Oleh: Dr. Daljit Singh Karam

 

MATARAM (Lombok) – Seramai 22 pelajar siswazah Pengurusan Sumber Tanah (LARM), Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan lawatan akademik ke Fakultas Pertanian, Universitas Mataram (UNRAM) untuk mengetahui secara lebih dekat teknik penanaman padi pada tanah yang mempunyai kelembapan rendah, yang dikenali sebagai gogo rancah.

Dekan Fakultas Pertanian, UNRAM, Dr. Ir. Sukartono berkata Mataram dahulunya antara kawasan kurang maju tetapi kini menjadi periuk nasi utama bagi Indonesia dan mengeksport beras ke bahagian-bahagian lain di luar Mataram.

Katanya, teknik gogo rancah menghasilkan lebihan hasil tuaian padi, dan meningkatkan pulangan  ekonomi kepada Mataram.

 

Teknik gogo rancah, termasuk pembentukan kolah air atau ‘embung’ dijalankan kebanyakannya di kawasan selatan Mataram kerana taburan hujan yang rendah. Bagi kawasan yang menerima hujan tinggi, Mataram dapat menghasilkan padi sebanyak tiga kali setahun.

“Embung menyalurkan air dari kawasan tinggi ke kawasan rendah. Disebabkan itu kawasan padi kami adalah pada bukit yang dibuat secara teres dan biji benih padi ditabur secara terus atau direct seeding sebelum musim hujan,” katanya.

Program turut diiringi oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM, Dr. Daljit Singh Karam dan Dr. Dzarifah Zulperi

Ketua pelajar LARM Fakulti Pertanian UPM, Mohd Shahrul Nizam Mohd Salleh berkata Mataram dipilih sebagai destinasi lawatan kerana ia terkenal bukan sahaja untuk pertanian, malah pelancongan.

“Kami melihat tanaman padi dan juga tanaman lain seperti jagung, cili dan kacang yang menunjukkan penggunaan tanah adalah maksimum yang menunjukkan kepentingan pertanian amat dititikberatkan di Lombok yang mempunyai kira-kira 4 juta penduduk.

“Kami berpeluang melawat pulau Gili Trawangan, menyertai penduduk tempatan di Benang-stokel, merasa sendiri kehidupan etnik Sasak dan juga penghasilan mutiara yang sinonim dengan Lombok,” katanya.

Pelajar siswazah LARM, Hilmy Sazlin Azny Abdul Aziz berkata pembangunan tanah amat berbeza di antara Malaysia dan Indonesia kerana agak sukar untuk melihat pertanian bandar di Malaysia.

“Tetapi di Lombok, penanaman padi secara komersil diadakan di sebelah lapangan terbang. Saya pasti pertanian bandar boleh diadakan secara besar-besaran di negara kita sekiranya pelbagai faktor dalaman dan luaran dalam pembangunan tanah diambil kira.

“Melalui kursus ini, pelajar LARM berpeluang belajar melangkaui tanah air untuk melihat pembangunan di negara jiran,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Hanis Huzaira Abd Hanan berkata teknik gogo rancah dan lawatan ke kawasan penanaman padi amat menarik, dan menurutnya pelancongan berasaskan pertanian atau agrotourism dapat meningkatkan pendapatan penduduk dan negara.

Rakannya, Norizah Ramly berkata segala ilmu yang diperoleh melalui pembelajaran dalam kelas dan lawatan itu akan digunakan semasa membuat keputusan sekiranya terlibat dalam pembangunan kawasan dan juga dalam penyelesaian masalah.

 

Kursus LARM merupakan kursus dua tahun yang ditawarkan oleh Fakulti Pertanian, UPM yang memberi tumpuan kepada teori dan praktikal pembangunan  tanah secara mampan dengan melibatkan ilmu sains tanah, perundangan tanah, konservasi tanah, pengurusan sisa pencemaran dan pengurusan tanah secara lestari. - UPM

 

 

Kemaskini:: 11/08/2017 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1505860694