Pelajar UPM Naib Johan Mega Startup Weekend Johor Bahru @ UTM 2016 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar UPM Naib Johan Mega Startup Weekend Johor Bahru @ UTM 2016

Pelajar UPM Naib Johan Mega Startup Weekend Johor Bahru @ UTM 2016


Oleh: Dr. Novia Admodisastro  dan Dr. Hizmawati Madzin

SKUDAI – Pelajar Bacelor Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), Fakulti Sains Komputer & Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai Naib Johan Mega Startup Weekend Johor Bahru @ UTM 2016, bagi kategori ‘Internet of Things’ baru-baru ini.

Muhammad Nur Syafiq Sinwan, Soon Joon Wai, Muhammad Nur Sufi Abu Bakar, dan Mohamad Faizal Abdul Karim membawa pulang hadiah bernilai RM1,000, Arduino Starter Kit dan ‘Cloud Storage’.

Idea yang dimenangi merupakan inovasi bagi sistem ‘on-board diagnostics’ kereta yang dihubungkan terus menerusi aplikasi mudah alih. Nama produk yang dipertandingkan adalah ‘VePA’ (Vehicle Personal Assistant).

Pertandingan dianjurkan UTM Technology Enterpreneurship Centre (UTMTEC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, Wadhwani Foundation dan The Hangout.

Program diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dari 29 April hingga 1 Mei lalu. Peserta diperuntukkan selama 54 jam untuk merealisasikan idea mereka dibantu oleh para mentor yang diiktiraf bagi meyakinkan para juri.

Objektif pertandingan adalah untuk melahirkan usahawan teknologi muda (young technopreneur) yang melibatkan skop ‘Internet of Things’ dan ‘Social Innovation’.

Program itu melibatkan pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), pereka perisian dan jurutera yang pakar dalam pelbagai bidang dari seluruh Malaysia. - UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511284361