| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM menang hadiah pertama Malaya Makerthon

Oleh: Azman Zakaria

 

 

KUALA LUMPUR, 7 April - Pelajar Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Lew Pei Sze  memenangi hadiah pertama bersama kumpulannya yang diberi nama ‘Fusion’ pada pertandingan Malaya Makerthon 2018, yang pertama kali diadakan.

Anggota lain kumpulan itu ialah seorang pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dua pelajar KDU University College.

Kumpulan Fusion itu menerima hadiah RM2,500 selepas pertandingan Malaya Makerthon selama 30 jam itu.

Pertandingan disertai 14 pasukan dari pelbagai universiti awam dan swasta seluruh negara. Ia dianjurkan Universiti Malaya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Inkubator Inovasi, Universiti Malaya dari 5 hingga 7 April lalu.

Prototaip yang dibangunkan oleh kumpulan Fusion ialah Smart Bin berdasarkan kepada idea Internet of Thing (IOT). Smart Bin berkeupayaan mengesan paras sampah dalam bekas itu.

Apabila kuantiti sampah itu melepasi had, plat pemampat yang terletak di bahagian atas bekas sampah itu akan digerakkan secara automatik untuk memampatkan sampah berkenaan.

Selepas pemampatan dilakukan beberapa kali, sampah akhirnya tidak akan boleh dimampatkan lagi. Smart Bin akan menghantar isyarat melalui WiFi kepada pemungut sampah untuk memaklumkan mereka bahawa sampah itu sudah sedia untuk dikutip – UPM

 

 

SXEZSAV~