Pelajar UPM Ikuti Kursus Teknikal Pengurusan Sumber Tanah | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar UPM ikuti kursus teknikal Pengurusan Sumber Tanah

Pelajar UPM ikuti kursus teknikal Pengurusan Sumber Tanah

Oleh: Dr. Daljit Singh Karam

 

UNITED KINGDOM –  25 pelajar Master Pengurusan Sumber Tanah (LARM), Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengikuti kursus teknikal Pengurusan Sumber Tanah dan Pembangunan Urban di Eropah bagi mendapatkan pendedahan kelestarian tanah.

Penyelaras kursus teknikal Cambridge International Land Institute (CILI), Jabatan Ekonomi Tanah, Universiti Cambridge, Prof. Dr. William Seabrooke berkata program itu bertujuan untuk mendedahkan pelajar tentang kaedah pembangunan, reklamasi serta penjagaan kawasan bandar dan pinggir bandar yang dipraktikkan di Eropah.

“Pertukaran idea adalah amat penting dalam menyediakan suasana urban yang selesa untuk semua masyarakat untuk menjalani kehidupan seharian. Selain itu pelajar turut dapat membuat perbandingan pendekatan yang dipraktikkan di Malaysia dan Eropah,” katanya.

 

Ketua Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM, Prof. Madya Dr. Radziah Othman berkata kursus itu merangkumi pendekatan untuk menangani tekanan akibat kepesatan pembangunan, perancangan guna tanah polisi guna tanah untuk pembangunan dan pertanian di Eropah.

“Selain itu, pengurusan sosial juga diambil kira dalam perancangan pembangunan bandar agar fungsi utama bandar merangkumi semua aspek seperti peluang kerjaya, kesihatan, kebajikan serta ekonomi setempat.

“Terdapat banyak kawasan hutan yang dibuka antaranya kawasan pertanian yang bersesuaian di negara kita telah ditukar menjadi kawasan perumahan dan perindustrian. Tidak kita nafikan pembangunan itu perlu kerana ia membantu membuka peluang perniagaan, pelaburan dan kerjaya untuk masyarakat tempatan mahupun luar negara,” katanya.

Kursus yang bermula pada 13 hingga 20 Ogos 2017 dibentuk hasil daripada kerjasama di antara Cambridge International Land Institute (CILI), Jabatan Ekonomi Tanah, Universiti Cambridge dan Fakulti Pertanian, UPM dan ia adalah kursus wajib bagi semua pelajar LARM untuk bergraduat.

Pelajar LARM, Wan Abdul Hadi Wan Mohd Shafie berkata melalui kursus itu beliau mendapat pelbagai ilmu baharu dalam pembangunan kawasan yang dapat diasimilasikan di Malaysia.

“Salah satu pendekatan yang menarik adalah dengan membaik pulih bangunan lama untuk dijadikan rumah. Kaedah ini dapat mengurangkan kos pembinaan bangunan baru dan juga pada masa yang sama menjimatkan penggunaan ruang tanah dan memastikan kelestarian tanah serta kawasan dijaga,” katanya.

Tambah beliau, London dan Amsterdam mempunyai jumlah penduduk yang agak padat tetapi pada masa yang sama mereka dapat memastikan masalah seperti kesesakan lalu lintas, rumah kos rendah untuk penduduk yang kurang mampu dapat diselesaikan.

 

Sementara itu, kursus teknikal turut diiringi oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM, Dr. Daljit Singh Karam dan pelajar LARM melawat kawasan yang dibangunkan semula, taman, pertanian bandaran serta bandar pintar di sekitar kota London dan Amsterdam, Belanda. Selain itu, pengisian kursus termasuk kajian kes seperti pembangunan kawasan di pinggiran bandar. - UPM

 

 

 

Kemaskini:: 21/08/2017 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506248766