Pelajar UPM Duduki Tempat Ketiga Pertandingan L’Oreal Brandstorm 2016 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar UPM duduki tempat ketiga pertandingan L’Oreal Brandstorm 2016

Pelajar UPM duduki tempat ketiga pertandingan L’Oreal Brandstorm 2016


Oleh: Shafini  Raisha
Foto: Mohd Hasrul Hamdan

PETALING JAYA – Tiga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Iqbal, Wong Jo Ann dan Norsyafiqah Othman berjaya menduduki tempat ketiga pertandingan L’Oreal Brandstorm 2016, baru-baru ini.

Kumpulan yang dinamakan Team Megiddo itu juga memenangi anugerah ‘Best Communication Plan’  atas idea pembentangan membangunkan aplikasi “Al apps CLAIRE” yang di operasi bersama telefon bimbit dan bertindak sebagai dermatologi peribadi kepada pengguna.

Pelajar Bacelor Sains (K) Bioteknologi, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul Muhammad Iqbal, berkata pada mulanya mereka mencadangkan idea berkaitan teknologi  VR (Virtually Reality) atau Realiti Maya untuk merevolusikan industri runcit kecantikan.

“Semuanya bermula dari pencarian produk kecantikan untuk membeli dan mengkaji produk yang dibeli itu melalui sistem aplikasi VR yang canggih.

“Idea ini membawa kami berada ke peringkat akhir tetapi daripada maklum balas yang kami terima daripada juri ketika peringkat separuh akhir, kami menukar idea berkenaan kepada aplikasi ‘Al app’ (artificial intelligence) iaitu “CLAIRE”,” katanya.



Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia dan Pengurusan, Fakulti Ekologi Manusia, Jo An dan pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM, Norsyafiqah turut membantu dalam membangunkan idea berkenaan.

Muhammad Iqbal berkata keunikan aplikasi ‘Al app’ CLAIRE yang dibangunkan dalam  telefon bimbit ialah ia bertindak sebagai dermatologi antaranya memberikan tip kecantikan, mengingatkan pengguna mengenai rutin kecantikan harian serta memberi amaran kepada persekitaran alam sekitar yang berbahaya untuk kulit

“Sebagai contoh, jika anda berjalan di bawah pancaran sinaran matahari, Al akan tahu melalui GPS di dalam telefon yang dipasangkan dengan aplikasi cuaca dan akan mencadangkan anda mencari pelindungan daripada pancaran terik cahaya matahari.

“Al juga hadir bersama dengan peralatan yang membolehkan anda memperoleh analisis kulit melalui kamera telefon yang membolehkan CLAIRE memberi tips mengenai cara mengatasi masalah kulit anda menggunakan pangkalan datanya yang luas,” katanya.


Beliau berkata, walaupun pembentangan itu hanya memakan masa 15 minit, namun pertandingan itu adalah merupakan cabaran hebat untuk mereka kerana saingan daripada perserta lain. – UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1505860620