| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM berbahasa Arab dalam program mobiliti di Mafraq

Oleh Azman Zakaria

 

MAFRAQ (Jordan), 10 Mac:   Tujuh belas pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang bahasa Arab menyertai pelbagai aktiviti pembelajaran dan latihan berbahasa Arab secara formal dan tidak formal sepanjang tempoh sebulan mengikuti Putra Arabiy Mobility Programme di Universiti Al-al-Bayt, Mafraq di sini, bermula 2 Februari lalu.

Empat belas pelajar Bacelor Sastera (Bahasa Asing) Pengkhususan Bahasa Arab dan tiga pelajar Master Sastera Bahasa Arab dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) itu, memanfaatkan peluang bernilai itu ke arah meningkatkan tahap kecekapan berkomunikasi dalam bahasa Arab. Mereka diiringi Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Asing FBMK, Dr Nik Farhan Mustapha dan Ketua Seksyen di Pusat Pengurusan Waqaf, Zakat dan Endowmen UPM, Zuhaimi Abdul Rahim. 

Antara aktiviti yang disertai pada setiap Ahad hingga Khamis ialah latihan perbualan bahasa Arab harian mengikut pelbagai situasi di dalam dan luar kelas Pusat Bahasa Universiti, dari 8 hingga 11 pagi; komunikasi dua hala bersama para pelajar penutur jati Arab di luar bilik kuliah (11 pagi hingga 1 tengah hari); dan latihan kemahiran bertutur, mendengar syarahan dan taklimat pensyarah dari kalangan penutur jati Arab (1 tengah hari hingga 3 petang).

Pelajar Master Sastera Bahasa Arab dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM, Mohd Azrol Hafizi Azman, yang juga ketua kumpulan pelajar itu berkata, kemuncak sesi pembelajaran dan latihan itu ialah apabila mereka pada hari kelima diundang ke pusat Radio Suara Universiti (Izā’atu Sauti Al-Jāmi’at), Universiti Al al-Bayt untuk berkongsi reaksi dan pendapat mengenai Jordan serta pengajian mereka.

Katanya, pelajar Master Sastera Bahasa Arab, Ahmad Syahmi Mohamed, dipilih sebagai wakil membuat perkongsian mengenai pengalaman ahli delegasi dalam menyesuaikan diri dengan cuaca, persekitaran dan budaya masyarakat Arab Jordan khususnya di bandar Mafraq.

Radio berfrekuensi 103.5 mh.z itu dapat didengari masyarakat di bandar Mafraq serta sebahagian kawasan di Amman.

Mereka juga mengadakan lawatan ilmiah bagi meningkatkan pengetahuan mengenai cara hidup dan budaya orang Arab serta ke tempat bersejarah merenungi kisah tamadun terdahulu seperti lawatan ke Gua Ashabul Kahfi, melawat Laut Mati, serta makam Nabi Ayub dan makam Nabi Syu'aib.

Mohd Azrol Hafizi berkata, mereka turut melawat Wadi Ram dan Petra.

Petra adalah kota bersejarah dan tapak arkaeologi di Ma'an, kawasan pemerintahan Jordan. Petra dipercayai dibina sebagai ibu kota kerajaan Nabatene hasil seni pemotongan batu pada kurun keenam.

Kota bersejarah itu dipilih sebagai Tujuh Keajaiban Baru Dunia pada 2007 dan Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1985. Petra juga dipilih oleh British Broadcasting Corporation (BBC) sebagai satu daripada "40 tempat yang anda mesti lihat sebelum mati."

Mereka juga melawat Jerash, kota yang mempunyai tiga pintu utama dan dikatakan jika berada di dalam kota itu, seseorang diberi pilihan untuk keluar sama ada menggunakan pintu menuju Eropah, Palestin atau Makkah.

Mereka turut berkunjung ke Ajlun, yang menempatkan Istana Ajloun yang dibina oleh seorang tentera Salahuddin Al-Ayubbi pada 1184 untuk mengawal perlombongan besi dan menentang tentera Frankish yang ingin menceroboh Ajlun.

Mohd Azrol Hafizi berkata, mereka juga menjalankan beberapa program khidmat masyarakat di Mafraq, antaranya “Program Cinta Syria” dengan memberi bantuan makanan dan peralatan persekolahan percuma kepada pelajar Syria bagi menyuntik semangat mereka untuk terus belajar.

Program “Free Meals” pula diadakan bersama pelajar Malaysia Universiti Al al-Bayt dengan mengagihkan makanan percuma bagi mengeratkan lagi hubungan dan menyuburkan sikap tolong-menolong terhadap pelajar yang kurang berkemampuan. – UPM

 

 

WXDdSAV~