| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM anjur Program Mobiliti Tour of Knowledge D’Aussie 2016


Oleh: Nur Azira Ajal

SYDNEY - Kelab Mahasiswa Matematik dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Bahagian Antarabangsa Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan program tahunan mereka - program mobiliti ke luar negara - selama 10 hari di Sydney, Australia dari 29 Ogos hingga 7 September 2016.

Program Tour of Knowledge D’Aussie 2016 yang diketuai Nor Fatimahtul Zuhrah Sulaiman sebagai Pengarah program diadakan di Macquarie University, New South Wales, Australia dengan tajaan daripada Imagesfound Media. Program disertai 14 pelajar Fakulti Sains yang terdiri daripada Jabatan Matematik, Kimia dan Biologi.

Program bertujuan meningkatkan kemahiran insaniah para peserta secara menyeluruh melalui interaksi formal dan tidak formal bersama warga setempat dalam setiap aktiviti yang disertai.

Selain itu, melalui program berkenaan persefahaman dan jaringan hubungan bersama masyarakat di Australia dapat diperkukuhkan di samping memahami budaya serta cara hidup masyarakat setempat.



Nor Fatimahtul Zuhrah berkata perkara seperti ini tidak mungkin dapat dipelajari secara teori, dan melalui program itu ia dapat diaplikasikan.

“Ia selari dengan objektif program iaitu untuk  memperkukuhkan kemahiran insaniah para pelajar dan secara tidak langsung pelajar boleh mempraktikkan budaya positif yang diperoleh sepanjang berada di sana,” katanya.


Program Tour of Knowledge D’Aussie 2016 juga merupakan satu platform bagi pelajar dari UPM melihat sistem pengurusan dan pembelajaran universiti di negara berkenaan.

Beliau berkata program itu bukan untuk membandingkan sistem pembelajaran antara UPM dan Macquarie University, tetapi untuk melihat sistem pembelajaran di sesebuah negara maju.

“Kelebihan yang terdapat pada universiti tersebut mungkin boleh diaplikasikan di UPM pada masa akan datang,” katanya sambil melahirkan penghargaan kepada penasihat, pensyarah dan pemantau program yang memberi bantuan, sokongan dan nasihat sepanjang program.



Program Tour of Knowledge D’Aussie 2016 juga secara tidak langsung menaikkan dan memartabatkan nama baik Fakulti Sains UPM ke peringkat antarabangsa.

Macquarie University pula menyatakan UPM merupakan universiti dari Malaysia yang pertama ke universiti tersebut. - UPM


WXEUGA~