| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM anjur program kesedaran mengundi

By Muhamad Najkhan Mazlan
Foto oleh Mohammad Izrul Abdul Jabar



SERDANG, 29 April (UPM) – Seramai 50 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM)  menyeru semua pelajar yang telah berdaftar sebagai pemilih pulang ke pusat pengundian masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihanraya Umum ke 13.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Ahmad Bukhari A. Rahim berkata matlamat utama inisiatif itu ialah untuk memupuk kesedaran kepada pelajar agar melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai rakyat Malaysia pada hari pengundian.

 “Kempen seperti ini juga mempupuk semangat sayangkan negara dan jatidiri nasionalisma pelajar,” katanya dalam ucapan kepada pelajar di dataran Dewan Kuliah Pusat.



Beliau berkata pelajar UPM perlu didedahkan dengan aktiviti politik yang sihat selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

“Jadilah pengundi yang bijak. Pilihlah pemimpin yang benar-benar mampu menjalankan amanahnya dengan baik dan buat pilihan berdasarkan kepada rasional, bukannya perasaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM, Muhammad Faizzuddin Ismail pula berkata program itu merupakan program kali kedua selepas program kesedaran mengundi kali pertama diadakan pada awal Mac lalu di sini.

“Kempen kita pada hari ini adalah sebagai kesinambungan bagi merancakkan lagi momentum kesedaran program yang lepas,” katanya dalam ucapan.

Antara aktiviti yang turut diadakan dalam kempen itu ialah  ceramah dari Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi mendidik pelajar mengenai kaedah dan peraturan dalam proses pembuangan undi,” katanya. – UPM

--Mnm/kam/sam/kgo


WXDdGAU~