| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM anjur Kembara Seni Eropah 2015 ke Kota London


Oleh:  Siti Asmah Zolkefly
Foto:  Khysful Azim Hamzah

LONDON
– Pelajar Kolej Ke-10 dan Kolej Ke-11, Universiti Putra Malaysia (UPM)  mengadakan program Kembara Seni Eropah bagi mempertingkatkan ilmu pementasan teater di Kota London, England baru-baru ini.

Penasihat Program  Kembara Seni Eropah 2015, Talent and Arts UPM, Ahmad Qadri Basri berkata Kembara Seni itu melibatkan aktiviti perkongsian ilmu dan lawatan sambil belajar di beberapa buah pusat pementasan seni teater serta universiti yang berkaitan.

“Fokus utama program adalah untuk memberi peluang kepada mahasiswa tempatan  mengikuti sesi latihan yang diadakan di pusat-pusat seni tersebut dan mengumpul pengetahuan dalam bidang seni persembahan dengan bantuan tenaga pengajar di setiap lokasi lawatan mereka,” katanya.

Katanya, beliau bangga kerana program yang berjaya mencapai matlamatnya dalam memberi peluang kepada para pelajar untuk mengembangkan pengetahuan dan minat di peringkat antarabangsa.

“Program Kembara Seni Eropah 2015 yang julung kali diadakan oleh Kolej 10 dan Kolej 11 merupakan wakil pelajar daripada SETA Arts Production, sebuah produksi teater di kampus induk UPM yang melakar banyak sejarah kemenangan dalam Festival Teater Interkolej UPM,” katanya.



Antara lokasi serta beberapa universiti dan galeri seni yang dilawati oleh pelajar-pelajar itu ialah Cambridge Theater dan Palace Theater, Goldsmiths University, Manchester Metropolitan University, University of Liverpool, London National Gallery, Royal Albert Hall, dan Royal Academy of Arts yang menyediakan ruang untuk para peserta merasai serta mendapatkan inspirasi seni rekaan, gubahan idea, konseptual persembahan seni dan pementasan teater moden.

Pengarah Program Kembara Seni Eropah 2015, Khysful Azim Hamzah, berkata program seumpama itu dapat memberi peluang untuk belajar serta menimba pengalaman dalam membina hubungan luar dan mengenali keadaan sebenar dalam pengurusan kerja secara professional dan efisien di peringkat global.

“Kemahiran dan pendedahan seperti ini perlu dikuasai oleh setiap mahasiswa yang bakal bergraduat supaya bersedia dalam menempuh alam profesional. Program ini memberi saya peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar dari luar negara untuk mendapatkan informasi dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Siti Asmah Zolkefly berkata program itu memberi inspirasi kepada beliau untuk menimba pengetahuan mengenai teater dari luar negara.

“Di United Kingdom saya mendapat inspirasi dan melihat terdapat banyak idea seni serta konsep daripada persembahan teater yang dapat saya saksikan di Cambridge Theater yang boleh diaplikasikan di pementasan teater di negara ini,” katanya.

Pada masa kini, UPM menyasarkan program berimpak tinggi dapat diteruskan pada sesi yang akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai mahasiswa UPM menimba pengetahuan serta pengalaman mencipta hubungan ilmiah di peringkat global. - UPM


WXDdRAV~