| Universiti Putra Malaysia

Pelajar sumbang hadiah kemenangan ke tabung dana wakaf UPM

Oleh Hafliza Hussein
Foto oleh by Saleha bt Haron



SERDANG, 3 April (UPM) – Sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berbesar hati mendermakan sebahagian daripada wang kemenangan pertandingan yang mereka sertai ke Tabung Dana Wakaf Ilmu UPM. 

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Putra Science Park (PSP) UPM memuji sikap dermawan yang ditonjolkan kumpulan pelajar itu yang turut  menaikkan reputasi UPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Mereka diraikan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar ke Tabung Wakaf UPM baru-baru ini.

Kumpulan lima pelajar yang dianggotai oleh Loh Chu Xin, Mohd Hafez Mohd Khalid, Norameerah Zamzuri, Nur Raihan Jabbar dan Lee Soon Bon berjaya memenangi tempat kedua pada Pertandingan Simulasi Perniagaan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Februari lalu.



Pertandingan yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu  memerlukan setiap kumpulan yang bertanding menjana idea kreatif  untuk menghasilkan produk baharu dan membentangkan pelan pemasaran produk.

Kumpulan Apprentice Sdn. Bhd. yang merupakan gabungan pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Pengajian Pendidikan itu turut membawa pulang hadiah wang tunai RM5 ribu dan sijil penyertaan.

Sementara itu, pelajar tahun satu FEP, Kaviyarasu Elangkovan berjaya meraih tempat ketiga dan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah USD500 berserta sijil penyertaan pada pertandingan Global Social Venture Challenge South East Asia yang diadakan di Bangkok bulan lalu.

Kaviyarasu turut meraih anugerah Best 60 Second Presenter pada pertandingan yang sama  di mana setiap peserta dikehendaki membentangkan pelan perniagaan masing-masing dalam tempoh 1 minit dan menjawab semua soalan yang diajukan oleh juri dengan tepat.

Kumpulan Apprentice Sdn Bhd mendermakan RM500, sementara Kaviyarasu RM150 kepada pemegang amanah tabung wakaf, Bendahari UPM, Zulkiflee Othman sambil disaksikan oleh TNC HEPA, Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Pengarah PSP, Prof. Madya Dr. Shamsilah Roslan.

–upm/haf/mnm/kam/kgo


SXEUSAf~