| Universiti Putra Malaysia

Pelajar Kolej Kedua ungguli kejohanan debat bahasa Inggeris UPM


SERDANG, 21 Mac (UPM) – Hujah dari tiga pelajar Kolej Kedua yang membangkang pelaksanaan hukuman dera telah dinobatkan sebagai juara pada kejohanan debat bahasa Inggeris antara kolej yang diadakan pada awal bulan ini.

Pasukan yang terdiri daripada Muhammad Haikal Hikmal Hazam, Tee Keng Hong dan Joanne Lee Chelyan telah berjaya menambat hati para juri sekaligus mengenepikan cabaran pasukan lawan dari Kolej Ke Sebelas dalam pusingan akhir kejohanan itu yang berlangsung pada 8 Mac 2014.

14 daripada 17  kolej di Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil bahagian dalam siri perbahasan ini yang menyaksikan kemuncak perdebatan antara pasukan dari Kolej Kedua menentang peserta dari Kolej Ke Sebelas, kata Farah Liyana Md Safian, pelajar tahun kedua jurusan Bioteknologi yang menghuni Kolej Keenam Belas, juga bertindak sebagai pengarah kejohanan debat tersebut.



Beliau berkata Muhammad Haikal juga muncul sebagai pendebat terbaik dan para pemenang pada kejohanan tersebut membawa pulang trofi, kamus dan wang tunai sebanyak RM300 yang ditaja oleh Oxford Fajar, sebuah syarikat penerbitan dan pengedar buku.

Debat bahasa Inggeris antara kolej ini dianjurkan secara tradisinya oleh Kolej Keenam Belas bertujuan untuk menggalakkan penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar UPM.

Kejohanan itu juga bertujuan untuk mengasah kemahiran pelajar dalam pengucapan awam dan debat, di samping meningkatkan pengetahuan am mereka.

Senarai ahli kedua-dua pasukan:

Kolej Kedua

1. Muhammad Haikal Hikmal Hazam – Pelajar tahun kedua Sarjana Muda Sains

2. Tee Keng Hong – Pelajar tahun kedua Sarjana Muda Sains

3. Joanne Lee Chelyan – Pelajar tahun ketiga Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Pengurusan

 Kolej Kesebelas

1. Nurin Syahirah Md Sidek - Pelajar tahun pertama Sarjana Muda Kejuruteraan Makanan dan Proses

2. Jannanee Naidu – Pelajar tahun kedua Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia

3. Kogila Vaani Subramanian - Pelajar tahun Akhir Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia

Sementara itu, pengetua Kolej Keenam Belas, Dr. Paiman Bawon, mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan ahli jawatankuasa penganjur serta berharap ICED16 akan menjadi acara tetap kolej tersebut - UPM


WXDdSAe~