Pelajar Kolej 13 Juara Debat Bahasa Inggeris | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar Kolej 13 juara debat bahasa Inggeris

Pelajar Kolej 13 juara debat bahasa Inggeris


Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Gambar oleh: Noor Azreen Awang


SERDANG, 9 MAC – Pasukan pelajar Kolej 13 (K13) Universiti Putra Malaysia (UPM) menewaskan 16 pasukan sebaya mereka untuk menjuarai debat selepas berjaya mempersembahkan kehebatan dalam arena perdebatan antara kolej.

Pasukan K13 itu disertai oleh Muhammad Iqbal, pelajar tahun 1 Fakulti Bioteknologi, Alvin Lim,  pelajar tahun 2 Sains Kimia, dan Sivasni Krishnan, pelajar Asasi Sains Pertanian.

Dalam pertandingan ‘Inter College English Debate 16’ (ICED 16)’ akhir itu, K13 berjaya menewaskan K2 yang mencadang tajuk debat iaitu “This house would deny smokers access to State Healthcare” (atau pengisap rokok tidak akan dilayan oleh perkhidmatan kesihatan awam).



Muhammad Iqbal berkata kemenangan mereka adalah hasil daripada persiapan rapi dengan mendapat tunjuk ajar daripada senior kolej yang sering melibatkan diri dalam kelab debat Serdang Royal dan banyak membantu mengasah bakat pelajar dalam berdebat.

“Kemahiran menjawab dan mematahkan kenyataan dari pihak lawan adalah penting untuk memancing markah daripada pihak juri.

“Pengalaman yang dikongsikan oleh senior kami sangat bermakna dalam membentuk kemahiran berkomunikasi,” katanya yang turut meraih anugerah pendebat terbaik.

Dengan kejayaan itu, pasukan K13 memenangi wang tunai RM300, sijil penyertaan dan piala pusingan yang disampaikan oleh ‘President of Principals Council’, Dr. Roselan Baki diiringi oleh pengetua kolej 16, Dr. Paiman bin Bawon.



Pertandingan ICED 16 kali ke tujuh yang disertai oleh 150 pelajar dari 17 kolej itu merupakan acara tahunan Kolej 16 bertujuan menampilkan pelajar yang berbakat dan dapat mengasah kemahiran dalam berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris disamping melahirkan pendebat-pendebat yang mampu mengharumkan nama UPM dan mewakili negara di arena perdebatan antarabangsa.

Pengarah Program ICED 16, Muhammad Zulhafiz Syafiq Zulhilmi Cheng berkata sistem penganjuran pertandingan berbeza berbanding tahun sebelumnya.

“Pertandingan kali ini tidak meletakkan sebarang tema supaya skop perdebatan menjadi lebih fleksibel.  sistem liga seperti penganjuran sebelum ini telah dilupuskan di mana ICED 16 hanya mencari sebuah pasukan yang terbaik sekaligus menggondol juara.

“ICED 16 juga telah menjemput wakil persatuan debat daripada universiti lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk berdebat dengan dua finalis ICED 16 untuk meraih pengalaman berdebat dan berurusan dengan pihak luar,” katanya.

Pertandingan itu telah diadili oleh tiga pengadil berpengalaman yang diketuai oleh Pensyarah kanan Sekolah Pengajian Siswazah UPM, Dr. Saiful Amin Jalun, Guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas Kuala Lumpur, Pamela Esther Devadasan dan guru Bahasa Inggeris SMK Sultan Alam Shah Putrajaya, Raniza Ibrahim. -- UPM



Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563507766