Pelajar INSPEM Sertai Program Mobiliti Di Politecnico Di Torino, Itali | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar INSPEM sertai program mobiliti di Politecnico di Torino, Itali

Pelajar INSPEM sertai program mobiliti di Politecnico di Torino, Itali

SERDANG - Pandemik COVID-19 tidak menjejaskan hubungan kerjasama antara Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Politecnico di Torino, Itali untuk meneruskan aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang termeterai.

Salah satu aktiviti di bawah MoU tersebut adalah program pertukaran pelajar siswazah antara kedua-dua institusi.

Sejak 2017, INSPEM telah menghantar pelajar siswazah INSPEM untuk menjalani beberapa program mobiliti di luar negara termasuk ke Itali, Jerman dan China.

Program itu adalah satu platform yang baik untuk pelajar mendapat pendedahan pengalaman belajar dan menjalankan penyelidikan di luar negara.

Pengalaman itu menjadi pemacu dalam menjayakan pengajian masing-masing dan membuka kepada lebih banyak rangkaian dan kerjasama penyelidikan pada masa akan datang untuk pelajar dan INSPEM.

Pada tahun ini, pelajar ijazah kedoktoran INSPEM, Tea Bon Chian mengikuti program mobiliti (outbound) ke Politecnico di Torino, Itali bermula 1 Mac hingga 24 Julai 2021. 

Beliau berkata program mobiliti itu membolehkan pelajar mempelajari budaya negara asing selain ilmu yang diceburi.

 “Melalui program sebegini, saya dapat memupuk rasa syukur dalam diri dengan kelebihan dan kemudahan yang disediakan selain dapat melatih diri menjadi lebih berdisplin dalam kehidupan,” katanya

Penyelia pelajar di INSPEM, UPM adalah Prof. Dr. Muhammad Rezal Kamel Ariffin dan mengikuti program sangkutan penyelidikan ini di bawah penyeliaan Prof. Dr. Danilo Bazzanella di Polito menggunakan peruntukan Erasmus+.

Pelbagai program disertai pelajar sepanjang program mobiliti itu, antaranya membentangkan seminar atas talian bertajuk Efficient Security Mediated Encryption and Identity-Based Encryption Schemes Based on ElGamal Variant pada 6 Mei lalu dan Coppersmith’s Method: Solutions to Modular Polynomials pada 22 Jun lalu.

Pendedahan pelajar kepada persekitaran yang baharu telah dapat memperluas kemahiran interaksi sosial antarabangsa serta memperkaya pengalaman pembelajaran mereka.

Manfaat sebegini memberi pelajar pelbagai kemahiran baharu sebagai nilai tambah kepada ilmu pengetahuan mereka yang sedia ada dan kemahiran sebagai ahli masyarakat global yang mempunyai peranan di arena antarabangsa.

Pelajar yang menjalani program mobiliti akan menjadi pemangkin ke arah kelestarian penyelidikan saintifik yang akan membawa kepada kesejahteraan kepada agama, bangsa dan negara. - UPM

Tarikh Input: 14/07/2021 | Kemaskini: 14/07/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKVNA0:13:43