Pelajar FPAS Anjur Program Alam Sekitar Di Kampung Orang Asli Di Pahang | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar FPAS anjur program alam sekitar di kampung Orang Asli di Pahang

Pelajar FPAS anjur program alam sekitar di kampung Orang Asli di Pahang

Oleh Nor Adibah Asmi
Foto Nur Amira Syazana Ramli



SERDANG – Sebelas pelajar dari Fakulti Pengajian Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program ‘Orang Asli Initiative’ (OAI) 2016 di Kampung Orang Asli Batu 55, Maran, Pahang baru-baru ini.

Pengarah program, Hasifullah Ibrahim berkata program dengan kerjasama YSEALI YOUnified Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM itu bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat Orang Asli khususnya yang berumur 13 tahun ke atas terhadap pengurusan dan penjagaan alam sekitar.

“Mereka diberi pendedahan mengenai fakta isu dan tindakan penyelesaian berkenaan  hidupan liar melalui modul yang dirangka serta sesi ceramah dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Beliau berkata, pelajar khususnya yang mengambil jurusan Alam Sekitar secara langsung mendapat peluang menjalankan program kemasyarakatan dalam usaha memperluaskan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai isu alam sekitar masa kini.

“Perkara yang paling bermakna dalam proses pembelajaran adalah dengan berkongsi semula ilmu yang ada supaya semua pihak boleh mengetahui kepentingan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.



Pegawai Pemantauan Program OAI yang juga ketua jabatan Pengurusan Alam Sekitar, FPAS, Dr. Mariani Ariffin berkata program itu adalah satu inisiatif pelajar di Jabatan Pengurusan Alam Sekitar untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan memulihara hidupan liar, terutamanya spesis terancam di Malaysia.

“Program ini menjadi platform terbaik kepada pelajar untuk mempertingkatkan kemahiran komunikasi dan membina hubungan yang baik dengan masyarakat Orang Asli serta belajar dan memahami gaya hidup mereka,” katanya.

Program itu berlangsung selama tiga hari itu dan disertai 31 orang remaja berusia dari 13 hingga 17 tahun dengan dibantu oleh fasilitator  yang menggunakan modul berkenaan Pengurusan dan Pemuliharaan Alam Sekitar.

Pendekatan yang kreatif dan interaktif yang digunakan oleh fasilitator bukan sahaja menarik minat peserta program tetapi turut mendapat pujian ketua dan komuniti kampung tersebut.

Antara program yang dijalankan ialah permainan interaktif berkaitan haiwan terancam, kuiz, kerja berkumpulan, pembentangan, membina monumen kumpulan menggunakan barangan kitar semula dan juga tontotan video.

Program itu turut mendapat kerjasama pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli daerah Maran, PERHILITAN daerah Maran, Malaysian Environmental NGO (MENGO), Yayasan Hijau dan IM4U. – UPM


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511032843