Pelajar Fakulti Pertanian Adakan Lawatan Penilaian Industri Di Thailand | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar Fakulti Pertanian adakan lawatan penilaian industri di Thailand

Pelajar Fakulti Pertanian adakan lawatan penilaian industri di Thailand


Oleh: Muhammmad Fajrul Kelana

BANGKOK -  Seramai 14 orang siswa dan dua pensyarah dari Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Lawatan Ilmiah ke Bangkok, Thailand dari 7 hingga 12 April lalu, bertujuan mendedahkan pelajar kepada praktis mengendalikan sumber dan merancang program.

Antara tempat yang dilawati ialah Chokchai Farm iaitu ladang lembu tenusu integrasi sepenuhnya yang berkeluasan 480 hektar (8,000 ekar). Ia adalah ladang agro-tourism yang memiliki lebih 1,000 ekor lembu baka tenusu kacukan antara baka tempatan dan Friesian yang dikenali sebagai Chokchai Friesian.

Selain menghasilkan produk berasaskan tenusu, Chokchai Farm juga memiliki tarikan lain seperti pemerahan susu menggunakan tangan serta teknologi pemerahan susu yang moden, fasiliti pembiakan lembu tenusu, pembuatan ‘hay’ dan pasture bagi ternakan fidlot.

Ladang ini juga mempunyai tarikan sebagai pusat pengumpulan susu , membuat ais krim dari susu segar, memberi makanan kepada haiwan serta aktiviti berkaitan peladangan dan pelancongan.



Ia terkenal dengan tema “Wild Wild West” dan ini dapat dilihat pada pekerja yang mengenakan pakaian ala-koboi. Chokchai Farm juga mempunyai beberapa haiwan lain seperti gajah, kuda dan kuda padi

Menurut seorang pemandu pelancong,  pemilik ladang iaitu Khun Chokchai Bulakul amat meminati kuda dan menyerapkan tema kuda dan ‘countryside’ kepada ladang itu.

Mereka  juga melawat dan meninjau penghasilan dan pemprosesan barangan dan produk halal di Thailand yang diuruskan oleh Yayasan Pusat Islam di Ramkhamhaeng, Bangkok.

Yayasan ini adalah satu-satunya tempat umat Islam berkumpul di Bangkok ketika musim perayaan dan merupakan penyelaras aktiviti berkaitan agama Islam di Thailand.

Mereka juga membuat tinjauan sistem pemasaran dan pembungkusan produk pertanian termasuk hasilan ternakan di pasaraya Gourmet Market di Siam Paragon.

Sistem pemasaran dan pembungkusan mempunyai piawaian yang tinggi setanding dengan negera maju tetapi tidak mempamerkan logo Halal. Kaedah pembungkusan serta pemaparan daging di Gourmet Market adalah baik dan mutu daging dapat dilihat dengan jelas di setiap paparan yang dipamerkan.

Kumpulan siswa juga  berkunjung ke Zoo Dusit, Bangkok yang dikenali sebagai “Khao Din” iaitu taman haiwan lengkap dengan kemudahan hospital, muzium zoo serta pusat pendidikan.

Zoo ini dengan keluasan 28.2 hektar (47 ekar), merupakan zoo pertama Thailand yang ditubuhkan hampir 60 tahun lalu. Ia menempatkan 1,600 haiwan domestik dan antarabangsa termasuk rusa barking albino dan harimau Bengal putih.

Ia menjadi tempat habitat pelbagai jenis haiwan merangkumi beberapa spesies monyet, badak air, buaya, harimau, singa serta baka haiwan yang jarang ditemui seperti penguin, unta, dan juga beruang koala.

Turut  terdapat “African Savanna” iaitu kawasan untuk zirafah, burung unta dan zebra, “Nocturnal House”, “Reptile House”, “Pheasants Aviary”, “Hawks Exhibit”, “Elephants House” dan “Play Land” yang disediakan bagi hiburan kanak-kanak.

Program Lawatan Ilmiah itu dijalankan di bawah bimbingan Prof. Dahlan Ismail sebagai pegawai pemantau, dan  diketuai Muhammad Fajrul Kelana sebagai pengarah program. – UPM

 


 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511157353