| Universiti Putra Malaysia

Pelajar Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan graduat di London

Oleh: Dr. Siti Raba’ah Hamzah

 

 

LONDON – Seramai 22 pelajar Diploma Belia dalam Kerja Pembangunan (DBKP), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) bergraduat di London dalam majlis konvokesyen anjuran Sekretariat Komanwel di London baru-baru ini.

 

Dekan FPP, Prof. Dr. Aida Suraya Md. Yunus berkata program DBKP ditawarkan oleh fakulti  sejak 1999 kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setara dengannya, khususnya belia yang mempunyai pengalaman bekerja antara tiga dan lima tahun. 

 

”Uniknya, UPM merupakan satu-satunya universiti di ASEAN yang diberi tanggungjawab oleh Sekretariat Komanwel yang beribu pejabat di London, United Kingdom untuk menawarkan program ini,” katanya.

 

Beliau berkata, program itu dijalankan dalam tempoh dua hingga tiga tahun di UPM bertujuan meningkatkan profesionalisme pekerja belia serta pembangunan belia berteraskan pembelajaran sepanjang hayat.

 

Graduan daripada program itu menerima dua sijil, iaitu Diploma Belia dalam Kerja Pembangunan daripada UPM dan The Diploma in Youth Development Work daripada Commonwealth Youth Programme (CYP) London.

 

Diploma daripada CYP adalah sebagai tanda pengiktirafan antarabangsa ke atas kualiti graduan yang dikeluarkan oleh UPM.

 

Antara universiti di luar negara yang menawarkan program DBKP ialah Royal Melbourne Institute of Technology, Australia; University of Huddersfield, United Kingdom;  Mahatma Ghandhi University, India; University of South Pacific; University of West Indies (UWI), dan University of South Africa, Afrika. - UPM

 

 

SXDTQAQ~