| Universiti Putra Malaysia

Pasangan kembar seiras terima PhD Ekonomi

Oleh Thiviyah Manicam

SERDANG, 5 Nov – Pasangan kembar seiras, Nurhaiza Nordin dan Nurnaddia berkongsi kegembiraan apabila mereka masing-masing berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-41, hari ini.

Mereka melahirkan kesyukuran kerana dapat melanjutkan pengajian PhD dalam bidang dan universiti yang sama setelah tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran secara bersama di peringkat bacelor dahulu.

Nurnaddia melanjutkan pengajian Bacelor Ekonomi di UPM manakala, Nurhaiza pula Bacelor Perbankan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Nurhaiza, yang merupakan kakak bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). adalah calon tajaan UMK, manakala Nurnaddia pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) adalah calon tajaan KUIS.

Mereka menyatakan, sebagai adik beradik dan untuk mencapai kejayaan bersama, mereka saling membantu dalam pelajaran dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri.

“Kita harus gigih berusaha dan tidak mudah putus asa. Sebagai adik-beradik, kita mesti membantu antara satu sama lain untuk berjaya dalam kehidupan”, kata kedua-dua pasangan kembar berusia 32 tahun ini. - UPM

SXEXQAT~