| Universiti Putra Malaysia

Pameran papar keunikan budaya masyarakat Muslim Tatar Poland

Oleh: Hendra Rijal

Foto oleh: Azman Mohd

 

SERDANG, 12 Nov – Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan pameran “The Tatars Muslim in the Republic of Poland” yang mempamerkan budaya Islam di Poland yang ada sejak kurun ke-14.

 

Pameran itu yang dirasmikan oleh Duta Besar Republik Poland ke Malaysia, Krzystof Debnick adalah kolaborasi bersama Kedutaan Republik Poland di Malaysia. Ia memberi fokus kepada kepentingan sejarah komuniti Islam di Poland.

 

Turut hadir Duta Besar Jordan ke Malaysia, Thamer Adwan.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berharap UPM dan pihak kedutaan akan terus bekerjasama untuk projek-projek masa depan yang melibatkan aktiviti seperti seni bina, reka bentuk bandar dan perancangan serta reka bentuk lestari dan seni bina landskap.

 

“Ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh pelajar dan staf universiti malah secara langsung untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat mengenai kreativiti serta inovatif reka bentuk dan seni bina Poland,” katanya.

 

Penyelaras Galeri Serdang, LAr. Dr. Shamsul Abu Bakar berkata idea penganjuran pameran itu adalah inisiatif Pensyarah Kanan, Jabatan Senibina, FRSB UPM, Dr  Marek Kozlowski dan Galeri Serdang yang melihat keunikan masyarakat Muslim Tartar Poland yang telah lama bermastautin di Eropah Timur.

 

“Idea pameran ini adalah hasil daripada kesinambungan kerjasama terdahulu yang melibatkan Kedutaan Poland melalui pameran Poland: Contemporary Architecture and Urbanism Exhibition pada 26 Mei 2015.

 

“Tujuan pameran ini adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat kampus khususnya tentang kelangsungan serta keunikan cara hidup masyarakat Muslim Tartar di Poland terutamanya menghadapi cabaran hidup sepanjang 500 tahun kehidupan mereka di Eropah,” katanya.

 

Beliau berkata, Galeri Serdang dan Kedutaan Poland sedang merancang  mengadakan pameran bergerak untuk menonjolkan keunikan senibina Malaysia, yang akan dilancarkan di Malaysia dan kemudian dibawa ke Poland untuk dipamerkan yang akan diketuai oleh Dr. Marek Kozlowski. 

 

Pameran “The Tatars Muslim in the Republic of Poland” memaparkan penceritaan sejarah dan asal-usul Tatar bermula dari permukiman awal, mereka melalui pelbagai imej dan dokumen arkib penting mengenai orang Islam Tatar yang mempunyai fungsi komuniti integral dalam Republik Poland.

 

Pameran itu berlangsung dari 12 November hingga 12 Disember 2018. - UPM

WXEXXAv~