| Universiti Putra Malaysia

Palsi serebrum bukan halangan genggam ijazah doktor falsafah

Oleh Cheng Kai Wah

SERDANG, 17 Nov – Walaupun ada kekangan fizikal sejak kecil tetapi ini bukan satu halangan untuk Dr. Mastura Mahamed, 34, dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) untuk menamatkan pengajian dan menerima ijazah doktor falsafah dalam pengkhususan komunikasi massa, pada Majlis Konvokesyem Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-43, hari ini.

“Saya berpendapat, faktor yang paling utama untuk memperoleh kejayaan adalah kebolehan pengurusan masa dan disiplin diri yang tinggi.

“Oleh sebab saya menghadapi palsi serebrum, saya tidak mampu bergerak secara pantas seperti orang lain. Oleh itu, saya bangun 4 pagi setiap hari untuk membuat fisioterapi dan persiapan pergi ke tempat kerja,” kata Dr. Mastura.

Sepanjang pengajian doktor falsafah beliau yang selama 3 tahun 8 bulan, Dr. Mastura telah mengalami berbagai-bagai cabaran seperti pandangan orang lain terhadap diri sendiri dan kemudahan yang tidak begitu mesra orang kelainan upaya di tempat kerja.

“Saya amat menghargai sikap pelajar yang rela untuk menghulurkan bantuan di fakulti. Saya juga berterima kasih atas sokongan orang terdekat seperti kawan-kawan, pihak fakulti dan pengurusan universiti sehingga melahirkan perwatakan saya yang tabah hari ini,” Dr. Mastura turut berkata.

Dr. Mastura ingin menjadikan diri sendiri sebagai satu teladan untuk orang ramai bahawa keyakinan diri akan mendatangkan kejayaan. Dr. Mastura juga tidak lupa menasihati para pelajar supaya memupuk sikap kesabaran, ketabahan dan sentiasa berfikiran positif serta tidak mencari alasan untuk melarikan diri daripada masalah yang dihadapi dalam kehidupan.

Buat masa kini, Dr. Mastura sedang berkhidmat sebagai seorang pensyarah kanan di Jabatan Komunikasi, FBMK UPM. - UPM

SXETJAZ~