| Universiti Putra Malaysia

Outreach: Kem Jelajah Fizik oleh UPM pupuk minat pelajar sekolah terhadap Fizik


Oleh: Nor Ashekin Hamdan

BESUT
- Ramai pelajar mempunyai tanggapan bahawa pembelajaran mata pelajaran Fizik amat sukar, dan tanggapan seperti itu telah menjadi tembok penghalang untuk maju dan berjaya dalam mata pelajaran berkenaan.

Menyedari situasi itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil inisiatif menganjurkan program Outreach: Kem Jelajah Fizik yang disertai 60 pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Imtiaz, Besut pada cuti sekolah baru-baru ini.

Program selama tiga hari itu dikendalikan oleh UPM STEM - Outreach Physics yang diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Dr. Yap Wing Fen. Seramai 38 mahasiswa Kelab Fizik UPM  turut serta dalam program itu sebagai fasilitator.

Dr. Yap berkata, kajian mendapati pelajar aliran sains sekolah menengah atas mempunyai persepsi bahawa pembelajaran mata pelajaran Fizik amat sukar dan membosankan.

Justeru, katanya, program dirangka untuk menyemai minat mendalam dan penghayatan terhadap Fizik kepada pelajar di peringkat menengah atas.

“Pelajar Tingkatan 4 dan 5 banyak ‘menghafal’ definisi dan formula Fizik untuk menghadapi peperiksaan. Dengan cara menghafal, pelajar mungkin masih mampu memperoleh gred yang tinggi dalam peperiksaan, namun masalah akan dihadapi apabila pelajar mempelajari Fizik secara lebih mendalam pada peringkat yang lebih tinggi.

“Oleh itu, kami berusaha mengubah persepsi pelajar daripada ‘menghafal’ Fizik kepada ‘faham  dan ingat ’ Fizik melalui program bersiri ini,” katanya.

UPM STEM - Outreach Physics dengan moto “Transfer, Transverse, Transfrom” (Memindah, Melintas dan Mengubah) menggunakan pendekatan yang berfokuskan pelaksanaan aktiviti secara hands-on, iaitu peserta diberi peluang untuk menyaksikan dan mengalami sendiri serta mempelajari konsep yang berlaku dalam kehidupan seharian.



Antara slot menarik yang diadakan sepanjang program itu ialah “From Sky to Star” yang memerlukan pelajar menggunakan idea inovatif untuk membina roket kertas dengan daripada bahan buangan. Ia bertujuan menguji teori asas Fizik beserta kemahiran psikomotor yang dimiliki.

“Melalui slot ini, pengetahuan Fizik yang diperoleh pelajar dalam bilik darjah dapat dipraktikkan untuk menghasilkan roket kertas yang menarik dan efektif,” katanya.

Aktiviti lain termasuk Amazing Physics, Explorace: The Einstein Hunt dan The Journey of Curiosity yang turut membuka minda dan memberi peluang kepada pelajar melaksanakan experimen Fizik secara Outdoor.

Seorang pelajar SM Imtiaz Besut, Azri Faiq berkata program itu memberikannya satu kesedaran bahawa ilmu sains Fizik merupakan sesuatu yang dialami dalam kehidupan seharian.

“Jika dahulu, subjek Fizik merupakan subjek yang paling saya tidak gemari, namun selepas kem ini, persepsi saya berubah,”  katanya.

Rakannya, Almuni Noor Aziam pula berkata dia lebih bersedia untuk menghadapi Fizik tingkatan 5 serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas mengikuti kem itu, dan bertekad untuk menyambung pelajaran tinggi di UPM kelak.

“Saya amat bersyukur kerana berpeluang menyertai satu program transformasi ilmu fizik yang lain daripada yang lain ini,” katanya. - UPM

SXDcTAn~