| Universiti Putra Malaysia

Nur Ain Nabisya Azmi dipilih penerima Anugerah Ikon OKU


Oleh: Yasmin Yusoff

SERDANG, 4 Mac – Pelajar Bacelor Sains (Pembangunan Manusia), Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Ain Nabisya Azmi dipilih sebagai penerima anugerah Ikon Istimewa Kebangsaan sempena Program Konvensyen Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan 2016.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, penganugerahan itu diharap dapat memberikan contoh serta tauladan yang baik kepada rakan-rakan OKU yang lain.

Nur Ain Nabisya turut menyuarakan hasrat beliau supaya golongan OKU sepertinya diberi layanan sama seperti masyarakat lain. Beliau turut berkongsi pengalaman berkenaan layanan sesetengah pihak yang mendiskriminasikan warga OKU.

“Saya juga berharap fasiliti bagi OKU di Malaysia dapat ditambahbaik termasuk di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan tempat awam bagi membantu golongan OKU menjalani kehidupan dengan baik,” katanya.

Nur Ain Nabisya, 20, pelajar semester kedua di FEM, berkata ia akan menjadi pemangkin untuk beliau terus berusaha meningkatkan kualiti hidup.

 “Meskipun saya adalah OKU, saya mahu bersama-sama menyumbang dalam masyarakat sama seperti rakan-rakan saya yang normal dan menjadi contoh kepada OKU lain dengan  berusaha dengan lebih kuat untuk terus berjaya,” katanya.



Anugerah Ikon OKU anjuran Yayasan Komuniti Inklusif Langkawi (LICOF) itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ia bertujuan untuk menginklusif serta meningkatkan taraf hidup golongan OKU. - UPM

WXDdRAu~