| Universiti Putra Malaysia

Naib Canselor santuni pelajar menjelang peperiksaan akhir

Oleh: Nurul Athira Mohd Affandi     

                                               

SERDANG, 11 Julai - Cakna akan isu kesihatan mental dan bebanan akademik secara atas talian, Chapter Alumni YOSH UPM mengambil inisiatif mengadakan slot bual bicara santai ‘Coffee Talk’ bersama Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Slot bicara santai Naib Canselor bersama pelajar UPM itu bertemakan ‘Pecutan Akhir Peperiksaan’. Objektif utamanya untuk menyuntik semangat mahasiswa menghadapi Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2020/2021.

Prof. Dr. Mohd Roslan berkata, paling utama untuk pelajar ketika pandemik COVID-19 sekarang ialah menjaga kesihatan, berupaya untuk beradaptasi dengan pantas dalam apa jua situasi dan bijak keluar daripada masalah yang dihadapi termasuk berkaitan stress.

Program Coffee Talk: Pecutan Akhir Peperiksaan, Kejayaan Milik Anda! itu berkolaborasi bersama Gerakan Pengguna Siswa UPM, Kelab Al Huda UPM, Kelab Penyayang UPM, Kelab Scuba UPM, Kelab Insan dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan (FEDSSA) UPM.

Penasihat Chapter Alumni YOSH UPM, Dr. Mohd Mursyid Arshad menasihati pelajar untuk terus kekal bersikap positif dalam menghadapi peperiksaan akhir walaupun secara atas talian.

“Pelajar perlu mempunyai daya tahan yang tinggi dalam mendepani cabaran dunia yang tidak menentu, terutamanya dalam tempoh pandemik sekarang,” katanya.  

Pelajar Master Sains Pertanian, Fakulti Pertanian, UPM, Nurul Athira Moh Affandi berkata muktahir ini, pandemik COVID-19 ternyata memberi kesan yang begitu mendalam terhadap pengurusan akademik dan emosi pelajar.

“Kebiasaannya, tahap stress atau tekanan yang dialami pelajar meningkat apabila tiba musim peperiksaan. Pelajar yang mengalami stress boleh mendorong mereka ke arah positif atau negatif,” katanya.

Pelajar Bacelor Pertanian Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, UPM, Nur Fatihah Jakfar, berterima kasih kepada Naib Canselor dan YOSH UPM yang mengambil berat mengenai keadaan pelajar.

“Saya lebih bersemangat dan ingin menjadi mahasiswa yang lebih positif agar mampu beradaptasi dengan cabaran pendidikan semasa untuk mencapai kejayaan akademik yang lebih cemerlang,” katanya. - UPM

WXDcXAu~