Muhammad Khairul Adib Terima Anugerah Tokoh Siswa UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Muhammad Khairul Adib terima Anugerah Tokoh Siswa UPM

Muhammad Khairul Adib terima Anugerah Tokoh Siswa UPM


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar

SERDANG – Pelajar Bacelor Sains (Kepujian) Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa UPM sesi 2015/2016.

 Beliau menerima iPad Air 2, sijil dan tiket penerbangan tiga hari dua malam ke Ho Chi Minh City, Vietnam yang disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

Muhammad Khairul Adib, 22, berkata penerimaan anugerah tersebut diharap mampu menjadi inspirasi serta semangat kepadanya serta kepada pelajar UPM bagi memperhebatkan diri dalam pembelajaran dan penglibatan aktiviti di kampus.

“Ilmu dan pengalaman sepanjang pengajian di UPM akan saya manfaatkan dengan menyumbangkan kembali kepada komuniti. Saya berharap pelajar dan alumni UPM sentiasa berpegang kepada moto Berilmu Berbakti,” katanya pada Majlis Anugerah Siswa Gemilang Sesi 2015/2016.

Beliau yang pernah mewakili Malaysia ke Program Musim Panas Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Geneva, Switzerland serta Persidangan Pelajar Sains ASEAN di Jogjakarta, Indonesia bercadang menyambung pengajian pascasiswazah dalam bidang Astro Fizik atau Fizik Zarah di United Kingdom selepas bergraduat.



Sementara itu, Prof Datin Paduka Dr. Aini berkata pelajar perlu kompeten serta mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran di alam pekerjaan.

“Ilmu dan pengalaman yang diterima semasa di universiti adalah satu proses awal membentuk kematangan pelajar. Anda harus bijak menggunakan ilmu dan pengalaman yang diterima dan seterusnya mengubahsuainya mengikut faktor sekeliling bagi mencapai kecemerlangan,” katanya.

Majlis Anugerah Siswa Gemilang Sesi 2015/2016 menawarkan 21 anugerah bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar tahun akhir pengajian yang telah memperlihatkan ketokohan, kewibawaan, prestasi yang unggul dan kesungguhan yang tinggi di dalam aktiviti kokurikulum serta memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik dan persatuan/kelab yang menganjurkan program yang berimpak tinggi. – UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511184285