MRA Sumbang 500 Pek Makanan Kepada Petugas Barisan Hadapan UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » MRA sumbang 500 pek makanan kepada petugas barisan hadapan UPM

MRA sumbang 500 pek makanan kepada petugas barisan hadapan UPM

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Marina Ismail

 

SERDANG, 5 Mac – Malaysia Relief Agency (MRA) menyumbang 500 pek makanan makan tengah hari kepada petugas barisan hadapan kepada lima Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Projek Kongsi Rezeki Bersama 2.0 di sini.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Prof. Dr. Ir. B.T. Tuah Baharudin berkata sumbangan itu adalah dengan usaha kerjasama dengan Sahabat Masjid UPM.

“Sumbangan ini adalah sebagai penghargaan atas jasa mereka bertugas semasa pandemik COVID-19. PTJ yang menerima pek makanan ini antaranya Hospital Pengajar UPM, Pusat Kesihatan UPM, Bahagian Keselamatan UPM, Taman Pertanian UPM dan Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM,” katanya.

Katanya, program itu turut dibantu oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN), UPM  yang menyumbangkan bekalan tambahan kepada PTJ berkenaan.

“Harapan saya agar kerjasama ini diteruskan. Kita amat mengalu-alukan kerjasama dengan MRA sekiranya terdapat program untuk sumbangan bencana di tempat-tempat lain di Malaysia atau di luar, dan kita boleh menggerakkan pelajar UPM dengan kerjasama Sahabat Masjid UPM untuk tujuan kemanusiaan di masa depan,” katanya.

Prof. Dr. Ir. B.T Tuah berkata UPM bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk aktiviti kemanusiaan serta kebajikan, dan adalah tanggungjawab universiti bukan sahaja untuk memberi ilmu kepada pelajar tetapi membentuk kemahiran insaniah mereka.

Pengerusi Sahabat Masjid UPM, Bukryman Sabri berkata program kerjasama kali pertama bersama MRA itu memberi peluang kepada Sahabat Masjid UPM untuk berkolaborasi dalam pelbagai program bantuan untuk warga UPM dan juga masyarakat.

“Alhamdulillah kali ini Sahabat Masjid UPM dipelawa oleh MRA untuk bekerjasama dalam satu projek besar MRA iaitu Projek Berkongsi Rezeki 2.0 dan ia titik permulaan untuk kami bekerjasama dengan MRA,” katanya.

Sebelum ini, Sahabat Masjid UPM menjalankan beberapa projek program yang berbentuk kebajikan kepada petugas barisan hadapan UPM dengan memberikan bantuan keperluan asas serta bantuan kuarantin kepada barisan hadapan UPM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Wakil MRA, Muhammad Hariff Kamaruddin  berkata MRA amat menggalakkan pelajar UPM untuk turut serta sebagai sukarelawan dan program seperti itu yang akan memberi pengalaman kepada pelajar dalam melihat realiti kesusahan masyarakat.

“Peranan pelajar universiti dalam membantu golongan yang memerlukan adalah penting. Bersama-sama dengan NGO, pelajar dapat memastikan golongan itu mendapat bantuan bagi kelangsungan kehidupan yang lebih baik di masa akan datang,” katanya. - UPM

 

 

 

Tarikh Input: 23/03/2021 | Kemaskini: 23/03/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKXEAW:04:09