| Universiti Putra Malaysia

MoU UPM – SUK Selangor beri peluang belia sertai Program Pengajian Diploma

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang



SHAH ALAM, 6 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor mengenai kerjasama program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan Eksekutif (DBKP) ke arah melahirkan graduan yang berpengetahuan dalam bidang teras pembangunan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Kebudayaan Selangor, Tuan Amirudin Shari berkata program itu bertujuan meningkatkan tahap pendidikan dan melahirkan generasi muda Selangor yang mempunyai ilmu dan kefahaman dalam soal pembangunan belia.

“Program ini akan melatih peserta jadi proaktif merancang, melaksana dan menilai program pembangunan belia di peringkat komuniti,” katanya.



Seramai 35 pelajar kakitangan belia Selangor yang terpilih menerima sebanyak RM357,000 atau RM9,400 setiap seorang bagi enam semester pengajian bermula Februari lalu.

Penyerahan replika cek disampaikan oleh  Amirudin kepada Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan.

Kuliah secara eksekutif yang akan dijalankan itu akan diadakan pada hujung minggu iaitu pada Sabtu dan Ahad dari 9 pagi hingga 5 petang di UPM.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi pula berkata UPM merupakan satu-satunya universiti yang diberikan tanggungjawab oleh Sekretariat Komanwel yang beribu pejabat di London, United Kingdom untuk menawarkan program itu di rantau ASEAN.



“Penawaran program DBKP adalah sejajar dengan hasrat negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

“Antara jawatan yang boleh dipenuhi oleh graduan program ini meliputi semua peringkat dari Penolong Pegawai Belia, Pegawai Belia, Pegawai/Pengurus/Eksekutif Latihan Pembangunan Belia, Perancangan Sumber Manusia, Pegawai Tadbir dan Penyelidik dalam Pembangunan Belia.

“Dengan penawaran program ini di UPM, lebih ramai calon dapat dilatih dalam negara,” katanya.

Sebelumnya kementerian hanya dapat menghantar pekerja-pekerja belia daripada kerajaan dan Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) dalam kumpulan kecil bagi menyertai kursus diploma di Pusat Program Belia Komenwel (CYP) Asia di India.

Beliau menambah, Program DBKP itu bertujuan melahirkan graduan berpengetahuan dalam bidang teras Pembangunan Belia, latihan dan pembangunan, pembangunan organisasi dan pembangunan kerjaya dalam membangunkan belia secara optimum.

Program DBKP itu hasil pengstrukturan program di peringkat persijilan yang wujud sejak 21 tahun yang lalu melalui CYP di Afrika, Asia, Caribbean dan Pasifik Selatan.

Pengstrukturan dibuat bagi tujuan memberi pendedahan yang yang lebih meluas  kepada belia.

CYP telah mewujudkan perkongsian inovatif bersama 26 buah universiti dan institusi pengajian tinggi dalam Komanwel serta pendidikan Komanwel.

Kerjasama antara CYP, dan institusi pengajian Komanwel membuka lembaran baru dalam bidang Pembangunan Belia.

Di Malaysia, program itu telah dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan pada  Mei 1998 dan telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan sebagai program di UPM pada Jun 1999. 

UPM telah menawarkan program itu bermula pada sesi kemasukan tahun 1998 yang telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia pada tahun 2007. - UPM


SXDdHAQ~