| Universiti Putra Malaysia

Motivasi untuk balas jasa pemberi bantuan lakarkan kejayaan

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG, 12 Jan: “Saya belajar bersungguh-sungguh kerana hendak membalas jasa pihak yang memberi bantuan kewangan sepanjang pengajian. Saya terhutang budi kepada mereka,” kata pemenang Anugerah Pelajaran DiRaja (Bumiputera), Putera Mohamad Iskandar Jamil.

“Saya berdepan kekangan kewangan pada tahun pertama pengajian,” katanya.

Putera Mohamad Iskandar, 24, daripada program Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Bumiputera) daripada Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Sesi 5, Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44, di sini hari ini

Putera Mohamad Iskandar berkata, hasrat untuk membalas jasa itu sentiasa tersemat dalam hati dan dijadikan motivasi untuknya sepanjang pengajian.

“Sukar untuk saya gambarkan semasa wang tidak berapa mencukupi…saya perlu berjimat dan mengatur penggunaan wang pada semester pertama.

“Alhamdulillah pada semester kedua saya mula mendapat bantuan kewangan daripada Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM, persatuan bekas tentera, Tabung Amanah Pendidikan Melaka, dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ini membolehkan saya fokus kepada pelajaran.

“Saya nak balas jasa mereka, inilah motivasi buat saya. Cara untuk saya balas jasa mereka, ialah dengan belajar bersungguh-sungguh,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu yang bercadang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana (Master).

Putera Mohamad Iskandar yang berasal dari Sungai Rambai, Melaka berkata beliau tergamam apabila mendapat panggilan telefon daripada UPM pada 10 Disember lalu memaklumkan yang beliau mendapat anugerah itu.

“Saya terkejut…apa yang bermain dalam fikiran saya ketika itu ialah persoalan ‘betul ker, betul ker’ aku mendapat anugerah ini.

“Sepanjang hari tu saya macam tidak boleh nak buat aktiviti rutin harian,” katanya yang kini bekerja sebagai pegawai Penyelidikan dan Pembangunan di sebuah syarikat swasta.

Katanya, beliau mengulang kaji dan membuat persiapan awal dalam menghadapi peperiksaan dan banyak bergaul dengan rakan-rakan untuk bertukar-tukar fikiran dan bertanya apa-apa yang tidak difahami mengenai pelajaran. - UPM

SXEYOAc~