| Universiti Putra Malaysia

Minyak masak terpakai berjaya dibangunkan menjadi biodiesel

Oleh Azman Zakaria
Foto Noor Azreen Awang


SERDANG, 2 Mac - Minyak masak terpakai jangan dibuang, kerana sebenarnya boleh dimanfaatkan lagi. Penyelidikan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkannya sebagai biodiesel bagi kegunaan mesin dan jentera kenderaan.

Malahan mereka yang memberikan minyak masak terpakai kepada UPM, akan dibayar RM1 bagi setiap 1 kg minyak itu.

Proses bagi 100 liter minyak masak terpakai akan mengambil masa kira-kira enam jam untuk menghasilkan 90 liter biodiesel dan 10 liter glycerol.

Enjin diesel tidak memerlukan pengubahsuaian bagi penggunaan biodiesel itu kerana 10 peratus biodiesel perlu dicampur dengan 90 peratus diesel tulen (B10) sebelum digunakan.

Kumpulan penyelidik UPM menjalankan penyelidikan kira-kira lima tahun bagi penghasilan biodiesel itu.    

Ketua Unit, Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM, Prof. Dr Mohd Ali Hassan berkata, biodiesel itu memenuhi piawaian SIRIM. Bas serta traktor UPM sudah mula menggunakannya dalam fasa pertama penggunaan biodiesel.

“Penggunaan minyak masak terpakai yang merupakan sumber alternatif untuk penghasilkan biodiesel akan dapat mengurangkan kesan pemanasan global dan pelepasan gas rumah hijau ke alam sekitar,” katanya pada majlis perasmian kempen pengumpulan minyak masak terpakai untuk diproses kepada biodiesel di sini.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof Dr Ing Ir. Renuganth Varatharajoo dan turut dihadiri Pengurus Cawangan CIMB UPM, Zuraiti Zakaria. Projek itu mendapat suntikan dana RM45,000 daripada CIMB Foundation.   

Prof. Dr Mohd Ali berkata, pemprosesan kepada biodiesel akan dapat mengelakkan minyak masak terpakai daripada dibuang secara tidak terurus yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan jika digunakan berulang kali pula, boleh memudaratkan kesihatan seperti peningkatan kolestrol dalam badan.

UPM menyediakan tiga tempat pengumpulan minyak masak terpakai iaitu di Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB) dan Biorefinery@UPM (Loji Pandu Biokompos).    

“Kita memberi alternatif kepada pengguna selain memberi RM1 bagi setiap 1 kg minyak terpakai yang dihantar ke pusat pengumpulan itu,” katanya dan berharap mereka yang mahu menghantar minyak masak terpakai supaya memasukkan minyak berkenaan ke dalam bekas minyak asal untuk memudahkan ia ditimbang.

Prof Dr Ing Ir. Renuganth dalam ucapannya pula berkata, projek itu adalah satu platform terbaik yang memperlihatkan bagaimana penyelidikan terhadap bahan yang selama ini dibuang  boleh menghasilkan pulangan. – UPM

WXDcVAk~