| Universiti Putra Malaysia

Mewujudkan idea inovatif, menjana pendapatan untuk mengekalkan guna tenaga akademik antarabangsa

Oleh: Azman Zakaria

Gambar oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 16 Jan: Semua universiti khususnya Universiti Penyelidikan harus merangka idea inovatif dengan melakukan aktiviti penjanaan pendapatan untuk mengekalkan guna tenaga akademik dan penyelidik antarabangsanya, menurut Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Setia Dato' Dr. Aini Ideris.

Beliau berkata pengambilan pelajar pascasiswazah yang berkebolehan dari universiti-universiti di Malaysia banyak diamalkan di kebanyakan universiti penyelidikan Malaysia pada masa dahulu, namun pengantarabangsaan melalui kemasukan ahli akademik ke Malaysia tidak dapat diteruskan.

Oleh hal yang demikian, beliau menambah bahawa semua universiti harus mempunyai idea yang inovatif dalam mewujudkan dan melaksanakan aktiviti penjanaan pendapatan bagi mengekalkan guna tenaga akademik dan penyelidik antarabangsa.

"Kebanyakan universiti di Malaysia terutamanya universiti penyelidikan menghadapi kekangan sumber yang membawa kepada penilaian semula terhadap keutamaan dalam universiti," ujar beliau pada pembukaan Forum Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF) untuk Ahli Akademik Antarabangsa di Malaysia, di sini.

Forum ini bertemakan "Ahli Akademik Antarabangsa di Universiti-Universiti di Malaysia: Rahmat atau Musibah?"

Forum ini dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Pengajian Tinggi Nasional (IPPTN), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Pengajian Dasar dan Pembangunan Penyelidikan Malaysia (PenDaPat), dan UPM.

Ahli panelnya terdiri daripada Profesor Emeritus Abd Rashid Morten dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Nasir Shafiq (Universiti Teknologi Petronas), Dr Wan Chang Da (IPPTN, USM), dan Prof. Dr. Jeniffer Ann Harikrishna (Universiti Malaya).   

Prof. Datin Paduka Setia Dato' Dr. Aini berkata UPM memperuntukkan belanjawan khusus untuk melantik ahli akademik antarabangsa terutamanya dalam bidang yang kritikal, sementara dengan adanya geran penyelidikan antarabangsa dan endowmen industri juga akan menarik ahli akademik antarabangsa yang terkenal untuk bekerjasama dengan universiti.

"Setiap tahun kami menetapkan sasaran untuk merekrut atau mendapatkan pensyarah dan ahli akademik antarabangsa yang pakar dalam pelbagai bidang penyelidikan selaras dengan keperluan fakulti dan institut penyelidikan di UPM.

"Kami percaya bahawa ahli akademik antarabangsa dapat menyumbang kepada pengantarabangsaan kecemerlangan penyelidikan dan memperluaskan rangkaian global serta reputasi kami," katanya.

Sementara itu, pengarah CTET, IPPTN, Profesor Dato' Dr Morshidi Sirat berkata antara objektif forum itu adalah untuk mengenal pasti isu-isu semasa dan terkini mengenai pengambilan dan pengekalan ahli akademik antarabangsa dari negara-negara membangun Komanwel di Malaysia. - UPM

 

WXDdPAM~